Australia saman pemilik Facebook berhubung iklan palsu


Pihak berkuasa Australia sudah memulakan prosiding Mahkamah Persekutuan terhadap Meta kerana gagal bertindak sewajarnya untuk mengekang penipuan iklan di Facebook. – Gambar EPA, 18 Mac, 2022.

AUSTRALIA mengumumkan pada Jumaat ia akan memfailkan saman terhadap pemilik Facebook, Meta berhubung iklan penipuan skim mata wang kripto yang mendakwa disokong oleh tokoh terkemuka.

Suruhanjaya perlindungan pengguna Australia berkata ia sudah memulakan prosiding Mahkamah Persekutuan terhadap Meta Platforms kerana tindakan pemalsuan, mengelirukan atau memperdaya yang melanggar undang-undang pengguna atau sekuriti.

Ia menuduh Meta gagal melakukan usaha mencukupi untuk menghentikan iklan penipuan mata wang kripto atau skim jana wang, walaupun selepas dimaklumkan oleh selebriti mendapat iklan serupa yang diterbitkan di Facebook.

Meta berjanji mempertahankan diri, berkata dalam satu kenyataan ia berusaha untuk menghentikan iklan penipuan dengan menggunakan teknologi bagi mengesan dan menyekatnya.

“Kami tidak mahu iklan yang ingin menipu duit atau mengelirukan orang di Facebook—ia melanggar dasar kami dan tidak bagus untuk komuniti kami,” kata jurucakap Meta.

Gergasi media sosial itu berkata ia bekerjasama dengan penyiasatan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia.

Menurut suruhanjaya, iklan itu memaparkan warga Australia terkenal, termasuk bekas perdana menteri New South Wales Mike Baird dan ahli perniagaan Dick Smith.

Bagaimanapun, personaliti berprofil tinggi yang dipaparkan dalam iklan itu tidak pernah meluluskan atau menyokong mereka, katanya.

“Selain mengakibatkan kerugian tidak terkira kepada pengguna, iklan ini juga merosakkan reputasi tokoh masyarakat yang dikaitkan secara palsu dengan iklan tersebut,” kata pengerusi suruhanjaya itu, Rod Sims.

“Meta gagal mengambil langkah yang mencukupi untuk menghentikan iklan palsu yang menampilkan tokoh awam, walaupun selepas tokoh berkenaan melaporkan kepada Meta yang nama dan imej mereka dipaparkan dalam iklan penipuan cryptocurrency sokongan selebriti,” katanya.

Suruhanjaya berkata ia menyedari seorang pengguna kerugian lebih AUS$650,000 (AS$480,000) dalam salah satu penipuan yang diiklankan secara palsu sebagai peluang pelaburan di Facebook.

“Ini memalukan,” kata Sims.

Pihak berkuasa perlindungan pengguna berkata ia sedang mendapatkan perintah daripada mahkamah termasuk injunksi, penalti dan pembayaran kos undang-undang. – AFP, 18 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen