9 maut nahas trak dipandu remaja 13 tahun di Texas


SERAMAI 9 maut apabila trak pikap yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 13 tahun bertembung dengan sebuah van membawa pasukan golf kolej di barat Texas, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Enam anggota pasukan golf Universiti Southwest yang berpangkalan di New Mexico terbunuh dalam nahas malam pada Selasa bersama jurulatih mereka, menurut polis.

Remaja lelaki yang memandu dan bapanya berusia 38 tahun turut maut dalam kemalangan itu, yang berlaku berhampiran Andrews, Texas.

Menurut Jabatan Keselamatan Awam Texas, pikap Dodge 2500 itu masuk ke lorong sebelah dan bertembung dengan van.

Kedua-dua kenderaan terbakar.

Bruce Landsberg, naib pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, dipetik oleh KWES TV di Odessa, Texas sebagai berkata kanak-kanak di bawah umur itu memandu trak pikap ketika kemalangan berlaku.

Kanak-kanak berusia 13 tahun itu melanggar undang-undang Texas. Seorang pemastautin boleh mendapatkan permit belajar di negeri ini bermula pada usia 15 tahun yang membolehkan mereka memandu dengan orang dewasa berlesen berumur lebih 21 tahun.

Landsberg juga dipetik oleh KWES TV berkata tayar depan kiri trak itu kelihatan pecah sebelum nahas, yang berlaku ketika kedua-dua kenderaan itu dipandu laju.

Dua pelajar Universiti Southwest, kedua-duanya warga Kanada, berada di hospital dalam keadaan kritikal. – AFP, 18 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen