Kanada tawar rakyat Ukraine pemastautin sementara selama 3 tahun


Menurut PBB, lebih 3 juta orang melarikan diri dari Ukraine sejak permulaan pencerobohan maut Rusia pada 24 Februari, lebih separuh daripada mereka berlindung di Poland. – Gambar EPA, 18 Mac, 2022.

OTTAWA mengumumkan pada Khamis sedang mewujudkan program imigresen baharu yang akan menawarkan warga Ukraine yang melarikan diri daripada pencerobohan Rusia permit kediaman sementara Kanada sehingga tiga tahun.

Kanada, yang mempunyai diaspora Ukraine yang besar, terutamanya di tengah dan barat negara itu, berkata dalam satu kenyataan “rakyat Ukraine dan ahli keluarga terdekat dari mana-mana kewarganegaraan boleh tinggal di Kanada sebagai penduduk sementara sehingga tiga tahun.”

Pemohon dikehendaki membuat permohonan dalam talian dan memberikan data biometrik mereka dalam bentuk cap jari dan gambar.

Pelarian Ukraine boleh memohon permit kerja dan belajar secara serentak.

Rakyat Ukraine dan keluarga mereka yang menetap di Kanada juga akan mendapat manfaat daripada langkah baharu itu dan boleh “melanjutkan status pelawat atau permit kerja mereka selama 3 tahun, memohon permit kerja atau belajar baharu, atau melanjutkan permit sedia ada mereka.”

Menurut perkiraan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikeluarkan Khamis, lebih 3 juta orang melarikan diri dari Ukraine sejak permulaan pencerobohan maut Rusia pada 24 Februari, lebih separuh daripada mereka berlindung di Poland. – AFP, 18 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen