Polis Johor nafi dakwaan culik, bunuh, ambil organ kanak-kanak


POLIS menafikan terdapat kejadian penculikan, pembunuhan serta pengambilan organ dalaman kanak-kanak di Johor seperti nota suara yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook, hari ini.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata hasil semakan mendapati nota suara yang mendakwa kejadian tersebut berlaku di Kahang, Kluang, Mersing dan Masai itu merupakan audio lama yang pernah tular pada 2019.

“Perbuatan (penyebaran nota suara) tersebut dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai. 

“Perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan dakwaan sedemikian yang diperoleh daripada sumber yang tidak sahih. – Bernama, 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen