Biar 5 pemimpin tertinggi Umno tentukan bila PRU15, kata ketua pemuda


Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tiada perpecahan dalam kalangan pemimpin mengenai keperluan mengadakan PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Mac, 2022.

KEPUTUSAN mengenai bila hendak mengadakan pilihan raya umum akan datang harus diserahkan kepada lima pemimpin tertinggi Umno, kata Dr Asyraf Wajdi Dusuki sambil menepis dakwaan parti itu berpecah-belah dalam isu itu.

“Saya telah bercakap dengan perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob). Beliau tidak pernah kata beliau tidak mahu membubarkan Parlimen,” kata ketua pemuda Umno itu dalam ucapan penggulungannya di PWTC hari ini.

“Oleh itu, tiada perpecahan di kalangan pemimpin dalam perkara ini. Tetapi biarlah keputusan bila hendak mengadakan PRU15 ini ditentukan oleh lima pemimpin tertinggi parti - presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden,” tambahnya.

Katanya, tiada perpecahan dalam kalangan pemimpin mengenai keperluan mengadakan PRU15.

“Kita semua menyokong perdana menteri. Tetapi biarkan pemimpin menentukan masanya.

“Apa yang pasti akar umbi mahu pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum.”

Asyraf berkata, 190 daripada 191 bahagian Umno menyokongnya termasuk timbalan ketua pemuda Shahril Hamdan.

“Oleh itu, jangan percaya spekulasi terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara ini,” kata Asyraf.

Semalam, timbalan presiden Mohamad Hasan menggesa parti itu mengambil kesempatan daripada kelemahan pembangkang untuk mengadakan PRU15 tahun ini.

Gesaan itu hari ini disokong Ketua Pemuda dan Puteri Umno Asyraf dan Zahidah Zarik Khan dalam ucapan perasmian pagi ini walaupun Ketua Wanita Noraini Ahmad lebih berhati-hati dalam perkara itu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu pemberita parti itu belum membincangkan PRU15 lagi.

“Apa-apa pun kita bincang dalam parti dulu. Parti pun belum bincang lagi, saya pun belum terima sebarang usul lagi termasuk dari sayap-sayap yang bersidang hari ini. Malam ini kita ada mesyuarat khas Majlis Tertinggi, kita tengoklah nanti,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno yang bermula semalam akan diteruskan hingga Sabtu ini melibatkan 5,571 perwakilan daripada 191 bahagian.

Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual menyampaikan ucapan dasar pagi esok. – 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen