SEORANG saksi mengaku di mahkamah hari ini beliau salah sangka Najib Razak mahu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) mengeluarkan bon RM5 bilion.
Ismee Ismail, bekas pengarah 1MDB berkata “persepsinya” berdasarkan intonasi dan reaksi bekas perdana menteri itu silap selepas pasukan pembelaan menunjukkan surat.
Najib sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB. Beliau berhadapan 25 pertuduhan - empat salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang haram - berhubung kesalahan yang dilakukan antara 2011 dan 2013.
Peguam bela Hariharan Tara Singh menunjukkan kepada Ismee sepucuk surat bertarikh 28 Mei 2009 di mana Najib bersetuju dengan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin untuk menghentikan pengeluaran RM5 bilion dalam Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).
“Adakah anda bersetuju, berdasarkan surat ini, Najib sendiri telah bersetuju untuk menahan pengeluaran bon?,” soal Hariharan.
“Adakah wajar untuk katakan yang Najib tidak mendesak untuk mengeluarkannya?”
Ismee bersetuju dengan peguam atas kesilapan andaiannya.
“Ya. Dalam kes ini, persepsi saya salah.”
Dalam kenyataan saksinya, Ismee berkata beliau mempunyai persepsi yang Najib mahu pengeluaran bon itu diteruskan berdasarkan reaksi dan intonasinya selepas memaklumkan keputusan sultan kepada bekas perdana menteri itu.
Ismee berkata Najib bertanya kepadanya mengapa beliau menandatangani resolusi bersetuju untuk menghentikan pengeluaran itu. Saksi itu berkata itu adalah titah sultan, tiada apa yang boleh dilakukannya.
Seorang lagi saksi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Halmi turut memberi keterangan yang beliau telah meneruskan bon tersebut meskipun ada titah sultan.
Shahrol berkata, selepas menjelaskan kepada Najib apa yang berlaku dengan Sultan Mizan, Najib berkata, “Anda teruskan, saya akan bercakap dengan Tuanku.”
Shahrol berkata pada masa itu, beliau mengambil kata-kata itu sebagai mandat Najib, yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan, untuk meneruskan IMTN.
Ketika itu, Najib juga merupakan menteri yang bertanggungjawab ke atas jaminan kerajaan bagi terbitan bon tersebut.
Walaupun mendapat tentangan daripada sultan dan lembaga pengarah TIA, TIA terus mengeluarkan bon dengan AmInvestment Bank Bhd bertindak sebagai pengatur utama, pengurus utama dan ejen kemudahan untuk IMTN.
Kerajaan persekutuan bersetuju untuk menjamin prinsipal dan faedah IMTN untuk tempoh 30 tahun pada kadar faedah 6.68 peratus setahun.
Bon itu diterbitkan pada diskaun 12.08% untuk memastikan langganan penuh, menyebabkan TIA menerima RM4.385 bilion daripada nilai penuh RM5 bilion, kurang RM615 juta.
Kadar faedah ke atas kupon ialah 5.75 peratus, bermakna pulangan berkesan kepada pemegang bon berjumlah 6.68 peratus setahun.
Secara keseluruhan, 1MDB perlu mengeluarkan RM13.625 bilion untuk membayar balik RM5 bilion dalam bentuk prinsipal dan RM8.625 bilion dalam pembayaran keuntungan.
Bon yang diperoleh TIA akhirnya digunakan oleh 1MDB untuk usaha sama 40-60 dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd, digelar 1MDB PetroSaudi Ltd, yang menjadi subjek perbicaraan ketika ini.
Perbicaraan akan disambung pada 21 Mac depan. – 17 Mac, 2022.
Komen