KEMENTERIAN Kewangan Rusia berkata pada Khamis ia telah melaksanakan pembayaran faedah ke atas dua bon asing, mengelak mungkir buat masa ini selepas dikenakan sekatan oleh Barat berikutan operasi ketenteraan di Ukraine.
“Perintah pembayaran… bernilai AS$117.2 juta yang perlu dibayar pada 15 Mac telah dihantar ke akaun bank koresponden pada 14 Mac dan telah dilaksanakan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kementerian menambah ia akan menyediakan “maklumat tambahan” mengenai pengkreditan dana.
Pada Rabu, Rusia berkata ia meminta sebuah bank Amerika untuk memproses pembayaran bagi bon denominasi dua dolar.
Sekatan ke atas operasi Rusia di Ukraine telah menyasarkan AS$300 bilion rizab mata wang asingnya yang dipegang di luar negara.
Tanpa akses kepada dana ini, kebimbangan meningkat Rusia boleh berisiko mungkir.
Menteri Kewangan Anton Siluanov telah memberi amaran hutang itu mungkin dibayar dalam rubel jika perlu.
Bayaran faedah yang perlu dibayar minggu ini perlu dibuat dalam dolar.
Pembayaran dalam rubel akan menjadi mungkir pada penghujung tempoh tangguh 30 hari, menurut Fitch Ratings.
Tetapi penganalisis di firma pelaburan JPMorgan berkata sekatan Amerika Syarikat tidak seharusnya menyekat keupayaan Rusia untuk membayar hutangnya.
Perbendaharaan AS juga berkata pembayaran faedah kepada entiti Amerika “dibenarkan hingga 25 Mei”. – AFP, 17 Mac, 2022.
Komen