PRESIDEN Ukraine mengulangi kenyataan jaminan kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine adalah penting, susulan rundingan damai yang sedang berlangsung dengan Russia, lapor Agensi Anadolu.
“Keutamaan saya dalam rundingan ini amat jelas: menamatkan perang, jaminan terhadap keselamatan, kedaulatan, pemulihan integriti di wilayah, serta jaminan perlindungan terhadap negara kita,” kata Volodymyr Zelenskyy menerusi video yang dikeluarkan Pejabat Presiden.
Zelenskyy juga menyeru askar Russia meletakkan senjata.
“Letakkan senjata kamu. Ia lebih baik daripada mati di medan perang, di bumi Ukraine,” katanya.
Menurut presiden Ukraine itu Russia terus menerus melakukan jenayah perang di negaranya, sambil berkata: “Ekonomi Russia masih mampu menyokong operasi ketenteraan.”
Zelenskyy turut menggesa masyarakat antarabangsa mengenakan sekatan baharu terhadap Russia dan memberi sokongan kepada Ukraine agar operasi ketenteraan Russia dapat dihentikan.
Krisis Russia-Ukraine bermula pada 24 Februari mendapat kecaman antarabangsa, membawa kepada sekatan kewangan ke atas Moscow dan mendorong firma global menghentikan operasi di Russia. – Bernama, 17 Mac, 2022.
Komen