PERWAKILAN Johor dijangka tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno yang bermula esok di Kuala Lumpur, susulan pelantikan menteri besar Johor yang baharu.
Difahamkan dalam pertemuan bersama pemimpin Umno Johor termasuk ketua bahagian di kediaman rasmi menteri besar di Saujana malam tadi, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Hasni Mohammad meminta ahli Umno tidak memanjangkan isu berkenaan.
“Sebaliknya, beliau (Hasni) berjiwa besar. Beliau juga tidak mahu perkara ini dibesar-besarkan,” kata sumber ketika dihubungi.
Menurut sumber itu lagi, Hasni juga mahu menghalang usaha segelintir perwakilan Umno Johor yang mahu menolak pelantikan Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar Johor ke-19.
Difahamkan, perjumpaan di Saujana semalam bermula seawal 9 malam dan berakhir kira-kira 3 pagi, dengan mereka yang hadir menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Hasni.
Onn Hafiz, 43, yang juga Adun Machap, mengangkat sumpah sebagai menteri besar ke-19 di Istana Bukit Serene petang ini, mengambil alih jawatan itu daripada Hasni.
Sebelum ini, Hasni dinamakan sebagai calon tunggal menteri besar oleh Pengerusi Barisan Nasional Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pada PRN Sabtu lepas, BN memperoleh mandat besar iaitu 40 daripada 56 DUN Johor, sekali gus mempunyai kedudukan selesa membentuk kerajaan negeri.
Bagaimanapun, selepas tiga hari kemenangan BN dirai, tiada petunjuk jelas sama ada Hasni akan kembali menerajui kerajaan negeri, sehingga muncul khabar angin mengaitkan nama Onn Hafiz dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi dengan jawatan itu. – Bernama, 15 Mac, 2022.
Komen