Pinda perlembagaan Umno, tetapkan pemilihan parti selepas PRU, cadang Asyraf Wajdi


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pemilihan parti hanya dibuat selepas setiap kali PRU. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Mac, 2022.

UMNO perlu meminda perlembagaannya untuk menetapkan pemilihan parti hanya dibuat selepas setiap kali pilihan raya umum (PRU), kata ketua Pemudanya Asyraf Wajdi Dusuki.

Umno perlu mencontohi langkah MCA, rakannya dalam Barisan Nasional (BN), yang sudah membuat pindaan perlembagaan sedemikian, katanya.

“Pemuda ingin mengusulkan kepada pimpinan tertinggi dan Perhimpunan Agong Umno agar membuat pindaan perlembagaan parti seperti rakan komponen kita MCA supaya pemilihan parti diadakan hanya selepas setiap kali PRU.

“Ini bagi mengelakkan sebarang usaha untuk memporak-perandakan, melemahkan kesepaduan dan kekuatan parti,” katanya berucap membuka Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Asyraf Wajdi membuat cadangan itu ketika Umno berbahagi pandangan sama ada mengadakan pemilihan parti sebelum atau selepas PRU15.

Setakat ini Umno menangguhkan pemilihan parti bagi penggal 2021-2023 selama 18 bulan sehingga akhir tahun ini. Mandat barisan kepimpinan Umno sekarang sepatutnya berakhir Jun 2020.

MCA meminda perlembagaannya pada 2019 untuk menetapkan pemilihan parti diadakan dalam masa enam bulan selepas PRU atau tiga tahun daripada pemilihan sebelumnya, bergantung mana satu yang lebih lewat. 

Siap sedia

Asyraf Wajdi juga meminta seluruh ahli Pergerakan Pemuda Umno Malaysia supaya bersiap sedia untuk menghadapi PRU, dan bukannya sibuk dengan pemilihan parti.

“Jangan terpengaruh dengan usaha-usaha memaksa disegerakan pemilihan parti. Jika ada pemilihan sebelum pilihan raya, berapa ramai kepimpinan Pemuda di hadapan saya ini yang akan bertukar ganti?

“Bukan kerana ditolak, tetapi kerana batasan umur yang tidak mengizinkan lagi. 

“Dengan masa yang pendek, apakah kita mampu membentuk semula barisan baru yang berpengalaman dan kuat untuk menghadapi peperangan?” tanyanya.

Beliau juga mengingatkan PRU15 nanti akan “lebih besar geloranya”.

Umno mengadakan perhimpunan tahunannya minggu ini di tengah desakan kuat dalam parti untuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaacob segera membubarkan Parlimen. – 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen