Cadang pada PM masa sesuai untuk PRU15, kata Wanita Umno


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Wanita Noraini Ahmad dalam ucapan dasarnya di PAU 2021 berkata mereka bersedia untuk PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Mac, 2022.

PEMIMPIN Umno perlu mencadangkan kepada perdana menteri masa yang sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tegas sayap wanita parti itu.

Ketua Wanita Noraini Ahmad dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno 2021 berkata pergerakan itu bersedia untuk PRU15 dan berharap masanya ditetapkan dengan berhemah.

Jelasnya, ia perlu mengambil kira memorandum persefahaman (MoU) dibentuk kerajaan pimpinan Umno dengan pembangkang.

“Wanita Umno sentiasa bersedia pada bila-bila masa bila sampai pada waktunya.

“Kita juga perlu ambil kira kesepakatan dan persefahaman, kestabilan politik MoU antara blok kerajaan dan pembangkang kerana keabsahannya sampai 31 Julai 2022. Tidak lama lagi.

“Justeru, sebarang tindakan hendaklah dibuat secara berhemah,” katanya dalam ucapan di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.

Tambahnya, beliau percaya Majlis Kerja Tertinggi akan mencadangkan masa yang kepada perdana menteri.

Beliau seterusnya menyatakan tekad sayap tersebut untuk berkempen bersama jentera Barisan Nasional (BN) bagi menebus kekalahan pada PRU14.

“Wanita Umno sentiasa sedia, insya-Allah Wanita bersama jentera BN akan berganding bahu,” katanya yang turut berharap lebih ramai calon wanita diketengahkan dalam PRU15.

Katanya, calon wanita BN hanya mewakili 11.7% daripada keseluruhan calon yang ditampilkan dalam PRU14.

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lima wanita dicalonkan berbanding hanya dua calon pada PRU14. Dalam PRN Johor inilah kali pertama BN meletakkan 25% calon wanita.

“Walaupun kita sebenarnya minta 30%, tetapi 25% sudah OK. Insya-Allah pilihan raya umum akan datang 30% minimum,” katanya.

Kata Noraini, Wanita Umno membuktikan mampu membantu dan memberikan kemenangan.

“Apabila diberikan amanah, Wanita Umno mampu memberikan kemenangan kepada Umno dan BN.

“Insya-Allah kemenangan ini tidak akan melalaikan kita, malah ini sebagai pembakar semangat untuk kita tambah baik dan perhebatkan gerak kerja kita,” katanya. – 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen