‘YB lompat’ boleh balik ke Umno tapi jangan harap jadi calon, kata Asyraf Wajdi


Kalidevi Mogan Kumarappa Chan Kok Leong

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu tidak berselera jika pengkhianat yang melarikan kerusi berhajat mahu kembali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 17 Mac, 2022.

UMNO bersedia menerima semula bekas wakil rakyatnya yang keluar parti, jika mereka bersungguh mahu kembali menyertai parti itu, tetapi penyertaan semula mereka tidak harus bersyarat, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Mereka misalnya tidak boleh mengharapkan untuk jadi calon pilihan raya sekali lagi bagi parti, katanya.

“Kita bukan parti yang teringin dengan tawaran kerusi daripada kaki lompat parti. Malah kita tak berselera pun jika pengkhianat yang melarikan kerusi berhajat mahu kembali.

“Tapi kalau bersungguh mahu kembali, kita bersedia membuka pintu, tapi kenalah ikut giliran… jangan pula nak masuk tapi syarat nak bertanding lagi,” katanya berucap membuka Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Persidangan sehari ini adalah perhimpunan agung bagi 2021 yang tertangguh sebelum ini kerana penularan Covid-19.

16 ahli Parlimen Umno keluar parti selepas BN kalah pilihan raya umum 2018, dengan 15 daripadanya menyertai Bersatu yang dipimpin bekas timbalan presiden Umno Muhyiddin Yassin. Seorang lagi masuk Warisan di Sabah.

Dalam ucapannya Asyraf Wajdi turut menyerang Muhyiddin kerana merosakkan proses demokrasi dengan amalan “scheme of things”, merujuk kenyataan yang didakwa dibuat presiden Bersatu itu daripada satu rakaman audio mesyuarat partinya yang bocor.

“Kononnya melalui ‘scheme of thing’, Abah (julukan Muhyiddin) boleh beli orang Umno dengan wang. Kononnya Abah mampu perdayakan orang Umno dengan jawatan.

“Namun majoriti ahli Umno terutamanya Pemuda-Pemuda Umno di hadapan saya inilah yang membuktikan kesetiaan tidak boleh dijual beli dengan jawatan.

“Perjuangan tidak boleh digalang ganti dengan projek mahupun wang,” katanya.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata Pemuda Umno menyokong penggubalan undang-undang antilompat parti dan ia perlu diperkenalkan segara.

Undang-undang itu penting untuk mengembalikan keyakinan pengundi kepada proses demokrasi, katanya.

“Pemuda mendesak agar Akta Anti Lompat Parti dibahas dan diluluskan segera. Undang-undang ini adalah satu keperluan bagi memastikan rakyat kembali percaya kepada sistem demokrasi negara.

“Rakyat mesti diberikan keyakinan semula bahawa undi mereka bukanlah sia-sia. Negara ini mesti ditentukan nasibnya oleh rakyat dan bukannya oleh ‘222 elit politik’ dalam Dewan Rakyat. Setuju?” tanyanya kepada perwakilan Pemuda Umno.

Beliau juga mencadangkan kerajaan mengasingkan tugas pendakwa raya daripada peguam negara, serta segera menggubal undang-undang mengenai pendanaan politik. – 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen