PENYIASAT Russia memulakan kes jenayah pertama di bawah undang-undang baharu terhadap penyebaran maklumat palsu berkenaan operasi ketenteraan negara itu di Ukraine.
Ditandatangani Presiden Vladimir Putin pada 4 Mac lalu, undang-undang itu membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi mereka yang menerbitkan maklumat palsu yang diketahui tentang tentera.
Ia mencemaskan lawan politiknya dan media bebas yang melihat undang-undang itu sebagai usaha untuk terus menyekat laporan mengenai operasi ketenteraan.
Jawatankuasa penyiasatan jenayah melalui laman webnya berkata, siasatan pertama menyasarkan tiga individu yang dituduh menyiarkan “pembohongan” di forum mesej dalam talian atau media sosial.
Katanya, siasatan itu berdasarkan maklumat daripada perkhidmatan rahsia FSB dengan rumah suspek digeledah dan sekatan dikenakan ke atas pergerakan mereka.
Salah seorang suspek dikenal pasti sebagai Veronika Belotserkovskaya, yang dituduh berkongsi maklumat palsu di Instagram.
“Saya secara rasmi diisytiharkan sebagai orang yang jujur,” katanya sebagai reaksi kepada pengumuman itu menerusi kiriman kepada 900,000 pengikutnya di Instagram.
Penyiasat berkata Belotserkovskaya berpangkalan di luar negara dan mereka akan mendapatkan waran antarabangsa untuk penahanannya. – AFP, 17 Mac, 2022.
Komen