Biden label Putin 'penjenayah perang'


Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengecam pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. – Gambar EPA, 17 Mac, 2022.

PRESIDEN Joe Biden melabel Vladimir Putin sebagai “penjenayah perang” pada Rabu selepas menonton rakaman TV yang mengerikan mengenai pencerobohan Ukraine, mencetuskan reaksi marah dari Rusia.

Ia adalah kali pertama Biden menggunakan frasa itu untuk menggambarkan Putin, dan presiden AS kemudiannya meneruskan serangannya, dengan ciapan di Twitter yang Putin “menyebabkan kemusnahan dan kengerian di Ukraine—mengebom bangunan pangsapuri dan wad bersalin.”

Merujuk kepada laporan tentera Rusia menjadikan doktor dan pesakit sebagai tebusan di hospital Mariupol, Biden berkata ia adalah satu kekejaman mengejutkan kepada dunia.

Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki berkata Biden “bercakap dari hati” selepas melihat imej di televisyen “tindakan biadab oleh diktator yang kejam.”

Jurucakap Putin Dmitry Peskov memberitahu agensi berita Rusia serangan retorik Biden “tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan di pihak ketua negara, yang bomnya membunuh ratusan ribu orang di seluruh dunia.”

Putin mengarahkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine tiga minggu lalu, berkata Rusia mahu memaksa pelucutan senjata tentera Ukraine dan menjatuhkan kerajaan pro-Barat.

Dengan kemaraan Rusia yang sebahagian besarnya dihentikan oleh tentera Ukraine, Moscow beralih kepada pengeboman orang awam, menyebabkan 3 juta rakyat Ukraine menjadi pelarian.

Psaki berkata Jabatan Negara AS sudah menjalankan proses undang-undang untuk meneliti tindakan Rusia.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky membuat ucapan video yang berapi-api kepada ahli Parlimen AS awal Rabu, disokong oleh montaj rakaman TV mengerikan orang awam Ukraine yang diserang Rusia.

Tahun lalu, Rusia memanggil semula duta AS selepas Biden menyamakan Putin sebagai “pembunuh”. – AFP, 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen