Rusia bebaskan datuk bandar Ukraine yang diculik


Datuk Bandar Melitopol Ivan Fedorov diculik pada Jumaat oleh tentera Rusia kerana enggan bekerjasama dengan musuh. – Gambar Facebook, 17 Mac, 2022.

DATUK bandar Melitopol di selatan Ukraine dibebaskan, kata pihak berkuasa Ukraine pada Rabu, beberapa hari selepas Kyiv berkata beliau diculik oleh tentera Rusia yang menceroboh.

Menurut presiden Ukraine dan Parlimen, Datuk Bandar Ivan Fedorov diculik pada Jumaat oleh tentera Rusia yang menduduki Melitopol, sebuah bandar di antara Mariupol dan Kherson, kerana “enggan bekerjasama dengan musuh”.

Pada Rabu satu video yang disiarkan di Telegram menunjukkan Presiden Volodymyr Zelensky bercakap dengannya di telefon dan memberitahunya beliau “gembira mendengar suara seorang lelaki yang masih hidup”.

Fedorov menjawab beliau dalam keadaan baik.

“Terima kasih kerana tidak meninggalkan saya. Saya memerlukan satu atau dua hari untuk pulih dan kemudian saya akan berkhidmat untuk menyumbang kepada kemenangan kita,” katanya.

Dasha Zarivna, jurucakap presiden berkata di televisyen Ukraine lewat Rabu yang Federov ditukar dengan sembilan tentera Rusia yang ditangkap, berusia 20 hingga 21 tahun.

Parlimen berkata datuk bandar itu diculik ketika berada di pusat krisis bandar itu yang menangani isu bekalan.

Zelensky pada Sabtu menyeru para pemimpin Perancis dan Jerman untuk membantu memastikan pembebasannya.

Datuk Bandar Dniprorudne, sebuah lagi bandar di selatan Ukraine, turut diculik pada Ahad, mendapat kecaman keras daripada Kesatuan Eropah. – AFP, 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen