GEMPA bumi berkururan 7.3 magnitud menggegarkan timur Jepun pada malam Rabu, menggegarkan ibu kota Tokyo sekali gus mencetuskan amaran tsunami bagi beberapa bahagian pantai timur laut, kata Agensi Meteorologi Jepun.
Gempa itu berpusat di luar pantai wilayah Fukushima pada kedalaman 60 kilometer.
Tidak lama selepas ia melanda pada pukul 11.36 malam waktu tempatan, satu amaran gelombang tsunami setinggi satu meter telah dikeluarkan untuk bahagian pantai berkenaan.
Setakat ini belum ada laporan mengenai kerosakan atau kecederaan, tetapi sekurang-kurangnya dua juta isi rumah terputus bekalan elektrik, termasuk 700,000 di Tokyo, kata syarikat tenaga serantau Tohoku Electric Power (Tepco).
Di wilayah timur laut, 156,000 isi rumah terputus bekalan elektrik, kata Tepco.
Perdana Menteri Fumio Kishida memberitahu pemberita kerajaannya sedang mengumpul maklumat situasi tersebut.
“Kita komited kumpul maklumat, buat yang terbaik untuk selamatkan mereka yang terjejas oleh gempa dan menyampaikan maklumat dengan sewajarnya,” katanya.
Tepco, dalam satu ciapan di Twitter berkata ia sedang memeriksa operasi loji nuklear Fukushima yang pernah terjejas gempa bumi 9.0 magnitud pada 11 Mac 2011, mencetuskan tsunami dan bencana nuklear.
Pihak berkuasa kawal selia nuklear berkata setakat ini tiada kejadian pelik dikesan di loji nuklear Onagawa di timur laut wilayah Miyagi.
Lingkaran api Pasifik
Syarikat kereta api JR East berkata ia sedang mengalami gangguan yang ketara terhadap operasinya.
Jepun terletak di Lingkaran api Pasifik, sebuah garisan akibat pergeseran kerak bumi yang merentasi Asia Tenggara dan limbangan Pasifik.
Jepun kerap dilanda gempa, dan mempunyai peraturan pembinaan yang ketat bertujuan bagi memastikan bangunan dapat menahan gegaran kuat.
Namun ia tetap dihantui oleh sejarah gempa bawah laut 2011 di timur laut Jepun yang mencetuskan tsunami maut dan mencetuskan kemalangan nuklear Fukushima.
Ulang tahun bencana itu diadakan Jumaat lepas bagi mengingati kira-kira 18,500 orang yang terkorban atau hilang dalam tsunami.
Di sekitar loji Fukushima yang terjejas, dekontaminasi meluas telah dijalankan, dan tahun ini lima bekas penduduk Futaba, bandar terakhir yang tidak berpenghuni di wilayah itu, kembali menetap di sana secara percubaan.
Kira-kira 12 peratus daripada Fukushima pernah diisytiharkan tidak selamat tetapi zon larangan kini meliputi hanya 2.4 peratus wilayah itu, walaupun populasi di banyak bandar kekal jauh lebih rendah berbanding sebelum ini. – AFP, 16 Mac, 2022.
Komen