PEJABAT Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah membuat laporan polis berhubung dua artikel berita mengaitkan Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Mohd Ghazali dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC.
Dalam satu kenyataan, pejabat ketua pendaftar berkata dua laporan berita yang didakwa diterbitkan dalam portal berita telah menjejaskan perjalanan pentadbiran keadilan jenayah dan badan kehakiman.
Dua artikel tersebut diterbitkan oleh Malaysia Now dengan tajuk “Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested” manakala satu lagi di Malaysia Today dengan tajuk “Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed”.
Kedua-dua laporan berita itu diterbitkan pada Isnin, 14 Mac lepas.
“Pejabat ini merujuk kepada laporan berita mengenai alegasi penglibatan seorang hakim Mahkamah Rayuan Malaysia di dalam skandal 1MDB dan SRC.
“Pejabat ini meminta agar orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu penjalanan sesuatu kes yang sedang dibicarakan dan sekaligus mengganggu gugat pentadbiran keadilan jenayah dan institusi kehakiman negara,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang berkaitan.
Seksyen 233(1)(a) AKM menyebut penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian oleh seseorang secara sedar niat untuk menyakitkan hati menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
Seksyen 449 Kanun Keseksaan pula menyatakan jika mana-mana individu membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan tidak benar yang akan atau boleh merosakkan reputasi orang lain, serta ditulis atau disebarkan dengan niat jahat, adalah melakukan satu kesalahan jenayah fitnah. – 16 Mac, 2022.
Komen