Marina Ovsyannikova teladan berani dan integriti, kata Goenawan Mohamad


Wartawan Russia Marina Ovsyannikova melakukan protes terbuka di televisyen terhadap pencerobohan tentera negaranya ke atas Ukraine. – Gambar EPA, 16 Mac, 2022.

WARTWAN Russia yang membuat aksi protes terbuka di televisyen terhadap pencerobohan tentera negaranya ke atas Ukraine contoh sikap berani dan integriti, kata tokoh wartawan Indonesia Goenawan Mohamad.

“Di negeri di mana bahkan memakai kata ‘perang Ukraine’ saja boleh dipenjarakan, Marina Ovsyannikova adalah teladan keberanian dan integriti.

“Ia melawan sikap penguasa yang menganggap rakyat seperti kerbau yang dicucuk hidungnya.

“Bersama jurnalis dan penulis Indonesia yang lain, saya sampaikan rasa hormat dan solidaritas kepadanya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Jakarta.

Goenawan, pengasas majalah mingguan berita Tempo, adalah antara tokoh utama kebebasan media di Indonesia dan penerima beberapa anugerah integriti dan kebebasan media antarabangsa.

Penutupan Tempo pada Julai 1994 semasa pemerintahan Suharto menjadi momen penting perjuangan kebebasan media republik itu.

Semalam, mahkamah di Russia mendenda Ovsyannikova 30,000 ruble (RM1,200) selepas menceroboh siaran langsung berita di Channel One untuk melakukan aksi bantahan terhadap perang di Ukraine.

Denda itu bagaimanapun kerana satu kenyataan video yang dibuat sebelum aksi protesnya. Dalam video itu beliau mengaku “malu bekerja di Channel One yang menyebarkan propaganda Kremlin”.

Ovsyannikova ditahan polis dan mendakwa disiasat berterusan selama 14 jam.

Beliau ditahan lewat Isnin selepas menceroboh set berita televisyen itu dengan sepanduk bertulis: “Hentikan perang. Jangan percaya propaganda. Mereka di sini berbohong kepada anda.”

Selepas beberapa jam tanpa sebarang maklumat mengenai penahanannya, pihak berkuasa menghadapkan Ovsyannikova ke mahkamah pada Selasa. – 16 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen