NPRA lapor 6 kes AEFI serius di kalangan kanak-kanak


Raevathi Supramaniam

Sehingga 11 Mac, NPRA menerima 182 laporan kes AEFI dalam kalangan kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2022.

SEBANYAK enam kes kesan advers susulan imunisasi (AEFI) dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun setakat 11 Mac, kata Dr Roshayati Mohamad Sani hari ini.

Pengarah Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) berkata daripada enam itu, satu kes melibatkan kematian di luar hospital.

“Kes kematian di luar hospital, berlaku empat hari selepas vaksinasi dan pesakit mempunyai sejarah penyakit lain.

“Laporan yang kami terima menyebut kanak-kanak berusia tujuh tahun ini mengambil vaksin dan ibu bapa berkata tiada sebarang reaksi.

“Pada hari dia tidak sihat, ketika itulah dia mengalami simptom, tetapi ia berkaitan dengan sejarah penyakit lain,” katanya pada taklimat media.

Roshayati berkata kanak-kanak itu juga mempunyai rekod kemasukan ke hospital berikutan penyakit lain, tetapi tidak mendedahkannya.

“Kami akan menunggu keputusan bedah siasat untuk mengetahui lebih lanjut.”

Sehingga 11 Mac, sejumlah 182 kes AEFI dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun, atau 0.17 laporan bagi setiap 1,000 dos.

Di samping enam kes serius, 96.7% lagi tidak serius dan melibatkan simptom seperti sakit kepala, kegatalan dan demam.

Bagi lima lagi kes AEFI yang serius, tiga dilaporkan sebelum ini dan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang menghidap asma, seorang budak lelaki berumur 10 tahun yang mengalami bell palsy dan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang dimasukkan ke hospital selama tiga hari.

“Dua kes baharu itu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 dan 8 tahun yang menghidap bell palsy.

“Bell palsy adalah tindak balas yang didokumenkan dalam maklumat produk Cominarty. Ia jarang berlaku. Kami mempunyai tiga kes daripada 1 juta dos yang diberikan.

“Ia akan pulih selepas beberapa minggu. Ia bukan keadaan yang serius.

Bell palsy juga mungkin berlaku secara tiba-tiba, walaupun tanpa vaksinasi, kata Rosyahati.

Laman perubatan berkata Bell’s palsy, juga dikenali sebagai palsi muka periferal akut yang tidak diketahui puncanya, boleh berlaku pada sebarang umur. Punca sebenar tidak diketahui.

Ia dipercayai akibat bengkak dan keradangan saraf yang mengawal otot pada sebelah muka dan mungkin merupakan tindak balas yang berlaku selepas jangkitan virus.

Secara keseluruhannya, Roshayati berkata NPRA menerima 25,746 laporan AEFI sehingga 11 Mac, dengan 1,411 daripadanya melibatkan dos penggalak dan 182 melibatkan kanak-kanak.

Majoriti kes ini, 23,957 (93%) tidak serius dan melibatkan gejala seperti sakit kepala, sakit sendi dan lesu yang akan pulih dalam masa satu atau dua hari, katanya.

Bagi dos penggalak, 110 kes AEFI serius dilaporkan daripada 1,411 laporan.

Terdapat juga 54 kematian dilaporkan dalam kalangan penerima dos penggalak.

“Sebanyak 24 laporan dinilai oleh Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK) dan mendapati tiada kaitan dengan vaksin. Sementara, 30 laporan lain masih dalam penilaian.”

Daripada 67,978,370 dos vaksin yang diberikan sehingga 11 Mac, Cominarty oleh Pfizer-BioNTech mempunyai jumlah laporan AEFI tertinggi iaitu 18,259, dengan 1,095 kes serius.

Terdapat 4,480 laporan AEFI melibatkan CoronaVac, dengan 545 adalah serius dan 1,173 laporan AEFI melibatkan AstraZeneca, di mana 146 adalah serius. – 16 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen