20,000 penduduk berjaya tinggalkan Mariupol


Anggota penyelamat Rusia mengedarkan teh panas kepada penduduk yang dipindahkan dari Mariupol di sempadan Ukraine-Rusia. – Gambar EPA, 16 Mac, 2022.

KIRA-KIRA 20,000 orang berjaya meninggalkan bandar pelabuhan Mariupol, Ukraine semalam dengan memandu di sepanjang koridor kemanusiaan yang dipersetujui dengan tentera Rusia, kata seorang pembantu presiden Ukraine.

“Hari ini kira-kira 20,000 orang memandu keluar dari Mariupol dengan menaiki kereta persendirian di sepanjang koridor kemanusiaan,” kata Timbalan Ketua Kakitangan Presiden Volodymyr Zelensky, Kyrylo Tymoshenko di Telegram.

Daripada kereta ini, 570 tiba di bandar Zaporizhzhia di barat laut, kata Tymoshenko.

Mereka yang berada di dalam kereta akan bermalam di sepanjang laluan itu, katanya.

Pemandu hanya mampu bergerak perlahan kerana jalan raya yang rosak, lombong dan pusat pemeriksaan.

Awal semalam, pihak berkuasa berkata kira-kira 2,000 kereta awam berjaya keluar dari bandar itu.

Kumpulan pertama melibatkan 160 kereta meninggalkan Mariupol pada Isnin, kata pihak majlis bandar itu.

Pemindahan itu berjaya dilakukan selepas beberapa percubaan gagal sejak tentera Rusia mengepung bandar pelabuhan di Laut Azov awal bulan ini.

Pengeboman hebat menyebabkan kira-kira 400,000 penduduk terputus bekalan air atau pemanas dan kehabisan makanan.

Lebih 2,100 penduduk terbunuh di Mariupol sejak pencerobohan Rusia, menurut pihak berkuasa bandar.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berkata semalam keadaan di Mariupol masih teruk dan ia tidak dapat menyampaikan bantuan kepada bandar itu.

“Yang pasti ratusan ribu orang masih menderita,” kata ICRC.

Timbalan Perdana Menteri Iryna Vereshchuk berkata, secara keseluruhannya, hampir 29,000 orang berjaya menggunakan laluan kemanusiaan untuk melarikan diri dari bandar yang dikepung pada Selasa. – AFP, 16 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen