SEBANYAK 97 kanak-kanak Ukraine terkorban sejak permulaan pencerobohan Rusia, kata Presiden Volodymyr Zelensky pada Selasa dalam ucapannya di Parlimen Kanada, merayu sekali lagi agar sekutu “memperluaskan” sokongan mereka untuk Kyiv.
Dalam ucapan video, pemimpin Ukraine itu mendakwa tentera Rusia “memusnahkan segala-galanya: kompleks peringatan, sekolah, hospital, kompleks perumahan.”
“Mereka sudah membunuh 97 kanak-kanak Ukraine,” kata Zelensky.
“Kami tidak meminta banyak. Kami meminta keadilan, untuk sokongan sebenar, yang akan membantu kami untuk menang, mempertahankan (diri kami), menyelamatkan nyawa,” katanya, menerima tepukan gemuruh daripada ahli Parlimen.
Sebelum ini, Perdana Menteri Justin Trudeau mengumumkan sekatan terhadap 15 lagi pegawai Rusia, termasuk “elit kerajaan dan tentera yang terlibat dalam perang haram ini.”
Tindakan itu menjadikan jumlah individu dan entiti Belarus, Rusia dan Ukraine yang disekat oleh Ottawa sejak permulaan perang bulan lalu kepada hampir 500 orang.
“Pengabaian jelas Vladimir Putin terhadap nyawa manusia tidak boleh diterima,” kata pemimpin Kanada itu sambil memuji Zelensky sebagai inspirasi.
“Demokrasi di seluruh dunia bertuah kerana mempunyai anda sebagai wira kami,” katanya sambil berikrar Ukraine “boleh bergantung pada sokongan kami yang tidak berbelah bahagi dan teguh.”
Zelensky berterima kasih kepada Kanada atas sekatan serta peralatan ketenteraan dan bantuan kemanusiaan.
Tetapi katanya, ia tidak menamatkan perang dan banyak perlu dilakukan untuk menghentikan Rusia serta melindungi Ukraine.
“Sila luaskan usaha anda untuk mengembalikan keamanan di negara kami yang damai,” katanya. – AFP, 16 Mac, 2022.
Komen