SUKAN Paralimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing yang berlangsung selama sembilan hari melabuhkan tirainya pada Ahad.
Kontinjen China yang puratanya disertai atlet berusia lingkungan 25 tahun menduduki tangga teratas dalam kutipan pingat emas, iaitu prestasi terbaik dalam sejarah.
Menurut Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Andrew Parsons, Paralimpik Musim Sejuk kali ini dikendalikan dengan menarik, selamat dan mengagumkan, sekali gus menjadi penanda aras bagi penganjuran temasya seterusnya.
Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian menyatakan bahawa temasya sukan edisi ini dilihat menyuntik elemen keyakinan, persahabatan dan harapan kepada dunia, serta akan tercatat dalam sejarah sukan bagi golongan kurang upaya (OKU) di dunia.
“Hampir 600 peserta OKU dari 46 negara dan wilayah memaparkan keberanian pada Paralimpik Musim Sejuk.
“Mereka cuba mencabar keupayaan masing-masing yang secara tidak langsung mentafsirkan nilai-nilai Paralimpik iaitu ‘berani, tekad, motivasi dan sama rata,” katanya di sidang media semalam.
Menurut Zhao, Paralimpik Musim Sejuk Beijing turut menggalakkan perkembangan sukan ais dan salji golongan OKU, di samping mendorong peningkatan persekitaran yang muhibah bagi golongan itu di bandar penganjur selain pembinaan masyarakat inklusif.
Pencapaian Paralimpik China turut memaparkan kelebihan sistem bagi perkembangan OKU, iaitu selaras dengan usaha negara Tembok Besar untuk memperkasa hak asasi setiap insan. – Bernama, 15 Mac 2022.
Komen