Perancis nafi langgar sekatan jual senjata kepada Rusia


Perancis menegaskan ia mematuhi sepenuhnya penglibatan antarabangsanya berhubung eksport peralatan ketenteraan. – Gambar AFP, 15 Mac, 2022.

KEMENTERIAN pertahanan Paris pada Isnin menafikan Perancis melanggar sekatan Eropah dengan terus menjual peralatan ketenteraan kepada Rusia selepas aneksasi Crimea pada 2014.

Badan kewartawanan penyiasatan Disclose melaporkan sekitar 152 juta euro (AS$167 juta) peralatan diluluskan untuk eksport sejak 2015.

Kebanyakan peralatan itu adalah “kamera terma untuk melengkapkan lebih1,000 kereta kebal Rusia, serta sistem navigasi dan pengesan inframerah untuk pesawat pejuang dan helikopter” yang dikeluarkan oleh Thales dan Safran, syarikat yang pemegang saham terbesarnya ialah Perancis, tambah Disclose.

Ia menegaskan kereta kebal dan pesawat jenis itu digunakan dalam pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sejak 24 Februari.

Selepas Moscow mengilhakkan Crimea pada Februari 2014, Kesatuan Eropah mengenakan sekatan senjata pada Ogos tahun yang sama.

Perancis bertindak lebih jauh dengan membatalkan penghantaran dua kapal pengangkut helikopter Mistral.

“Perancis mematuhi sepenuhnya penglibatan antarabangsanya berhubung eksport peralatan ketenteraan,” jurucakap Kementerian Pertahanan Herve Grandjean menjawab dalam catatan Twitter.

“Tiada kontrak baharu dibuat dengan Rusia sejak 2014. Tiada penghantaran dibuat ke Rusia sejak permulaan perang di Ukraine,” tambahnya. – AFP, 15 Mac 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen