NASA menegaskan ketegangan yang dikaitkan dengan perang di Ukraine tidak memberi kesan ke atas operasi Stesen Angkasa Antarabangsa atau rancangan pulang seorang angkasawan Amerika di atas kapsul Rusia akhir bulan ini.
Mark Vande Hei dijangka terbang ke Kosmodrom Baikonur di Kazakhstan menaiki kapsul Soyuz Rusia bersama angkasawan Pyotr Dubrov dan Anton Shkaplerov pada 30 Mac selepas 355 hari berada di angkasa lepas, rekod baharu AS.
Terdapat kebimbangan bahawa ketegangan yang memuncak antara Amerika Syarikat dan Rusia berhubung Ukraine boleh menyebabkan lelaki berusia 55 tahun itu terkandas.
Namun Pengurus Program ISS Nasa Joel Montalbano ketika bercakap kepada pemberita berkata: “Saya boleh memberitahu anda dengan pasti Mark akan pulang ke rumah dengan Soyuz itu. Kami sedang berkomunikasi dengan rakan sekerja Rusia kami. Tidak ada kekeliruan mengenainya. Ketiga-tiga anak kapal itu akan pulang.”
“Terdapat beberapa perbincangan mengenai perkara itu, tetapi saya boleh memberitahu anda bahawa kami sudah bersedia. Rakan sekerja Roscosmos kami telah mengesahkan bahawa mereka bersedia untuk membawa pulang seluruh anak kapal, kesemua ketiga-tiga mereka,” sambungnya.
Pada hujung minggu, ketua agensi angkasa Rusia Dmitry Rogozin memberi amaran sekali lagi bahawa sekatan Barat ke atas Rusia boleh menyebabkan ISS terkandas, dengan mengganggu operasi kapal angkasa yang penting untuk mengekalkan platform di orbit.
Tetapi pada Isnin, agensi berita Rusia TASS melaporkan: “Perbadanan angkasa lepas Rusia Roscosmos tidak pernah memberi peluang sedikit pun kepada rakan kongsinya untuk meragui kebolehpercayaannya” dan Vande Hei akan pulang seperti yang dirancang.
Montalbano menambah bahawa tiada perubahan dalam aktiviti harian.
“Semua aktiviti ini telah diteruskan selama 20 tahun dan tiada apa yang berubah dalam tiga minggu yang lalu: pusat kawalan kami beroperasi dengan jayanya, tanpa cela, lancar.” – AFP, 15 Mac, 2022.
Komen