PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor Hasni Mohammad mencadangkan pemimpin lebih muda diangkat untuk menerajui pentadbiran negeri selepas partinya mendapat mandat selesa daripada rakyat pada pilihan raya negeri, Sabtu lalu.
Dalam satu kenyataan petang ini, beliau tidak menamakan pemimpin yang dicadang tetapi banyak pihak menjangkakan Adun Machap Onn Hafiz Ghazi, 43, yang berpindah kerusi tidak mempertahankan Layang-Layang yang dimenanginya pada Mei 2018.
Beliau menang kerusi DUN Machap dengan majoriti 6,543 undi mengalahkan pencabar terdekat calon Perikatan Nasional (PN) Azlisham Azahar dalam pertembungan empat penjuru.
Onn Hafiz cicit kepada pengasas Umno Onn Jaafar, dan juga anak saudara kepada Hishammuddin Hussein.
“Saya menghargai keprihatinan dan kepercayaan parti sepanjang menjayakan Pilihan Raya Negeri Johor ke-15, sehingga membawa kepada kemenangan besar Barisan Nasional di Johor,” kata Hasni, yang memimpin BN menang 40 daripada 56 kerusi di DUN Johor.
“Melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri Johor, dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BN sebelum ini mengesahkan Hasni calon menteri besar yang akan dikemukakan kepada Sultan Johor untuk membentuk kerajaan.
Pencalonan Hasni disebut sekali lagi oleh pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas BN sah menang PRN Johor, kelmarin.
Ahmad Zahid petang tadi mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Beliau sebelum mengadakan pertemuan ringkas dengan timbalannya Mohamad Hasan di pejabat Umno Johor di Johor Bahru, lapor media.
Hasni jadi menteri besar Johor pada Februari 2020 susulan percaturan politik Langkah Sheraton menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan di Putrajaya. Johor adalah negeri pertama yang bertukar kepimpinan selepas percaturan politik itu, diikuti Melaka, Kedah, dan Perak.
Menurut Hasni, selama menerajui Johor pentadbirannya telah berikhtiar sebaik mungkin menjadikan negeri itu “berdaya tahan” menghadapi cabaran pandemik Covid-19.
“InsyaAllah di bawah kepimpinan baharu, negeri Johor akan menjadi lebih makmur dan sejahtera,” katanya.
Beliau juga mengulangi mesejnya selepas kemenangan BN kelmarin iaitu tiada pemimpin atau parti yang lebih penting dan utama berbanding negeri.
“Kini merupakan masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur,” tambahnya. – 14 Mac, 2022.
Komen