Tragedi MH17: Australia, Belanda ambil tindakan undang-undang terhadap Rusia


Serpihan bangkai pesawat Malaysia Airlines MH17 dibina semula sebagai sebahagian daripada perbicaraan di Belanda. Dalam tragedi 2014 itu pesawat tersebut dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Belanda sebelum ditembak jatuh ketika melalui ruang udara Ukraine dan mengorbankan 298 orang. – Gambar AFP, 14 Mac, 2022.

AUSTRALIA dan Belanda mengambil tindakan undang-undang terhadap Rusia, mendakwa Mowscow menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014, lapor The Guardian.

Tindakan tersebut diambil melalui Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa yang dapat memaksa Moscow kembali ke meja rundingan yang tertangguh selain boleh menyebabkan Rusia dijatuhkan hukuman.

Pesawat malang itu berlepas dari lapangan terbang Schipol Amsterdam menuju Kuala Lumpur pada Julai 2014 sebelum ditembak jatuh di ruang udara Ukraine sehingga menyebabkan 298 orang termasuk 38 warga Australia terkorban.

Kedua-dua negara telah menuntut Rusia memohon maaf dan memberi pampasan atas insiden tersebut.

Rusia, bagaimanapun, menafikan sebarang penglibatan walaupun siasatan antarabangsa membuktikan sebaliknya. Moscow juga menarik diri daripada rundingan dengan Australia dan Belanda pada Oktober 2020.

Menteri Luar Australia Marise Payne dan Peguam Negara Michaelia Cash hari ini mengumumkan Australia dan Belanda, akan mengambil tindakan undang-undang di bawah artikel 84 Konvensyen mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa, mendakwa Rusia melanggar Konvensyen Chicago yang menyokong undang-undang penerbangan.

“Sejak Mei 2018, kami telah menegaskan Rusia bertanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa kerana menjatuhkan pesawat MH17,” kata Payne.

“Tindakan bersama oleh Australia dan Belanda hari ini merupakan langkah besar dalam perjuangan kedua-dua negara untuk kebenaran, keadilan dan akauntabiliti terhadap tindakan keganasan yang mengerikan itu.

“Keengganan Rusia bertanggungjawab atas peranannya dalam menjatuhkan pesawat MH17 tidak boleh diterima, dan kerajaan Australia sentiasa berkata ia tidak akan kecualikan sebarang pilihan undang-undang dalam usaha menuntut keadilan.”

Australia dan Belanda berkata mereka akan bergantung pada “bukti sangat besar” yang penerbangan itu ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu darat ke udara Buk-Telar Rusia, yang diangkut ke ladang pertanian di Ukraine dari Rusia pada pagi Julai 17, 2014.

Kawasan itu berada di bawah kawalan pemisah yang disokong Rusia pada ketika itu.

Kedua-dua negara akan mengemukakan bukti yang sistem antipesawat itu adalah milik Briged Tentera Anti-Pesawat Rusia ke-53, dan dibawa oleh kru tentera Rusia yang terlatih.

Prosiding undang-undang itu menambahkan lagi pendakwaan Belanda terhadap empat suspek atas peranan mereka membawa sistem peluru berpandu ke timur Ukraine. Suspek terdiri daripada tiga warga Rusia iaitu Igor Girkin, Oleg Pulatov, Sergey Dubinskiy serta warga Ukraine Leonid Kharchenko.

Dalam pada itu, Payne berkata Rusia perlu bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsanya, terutamanya berhubung pencerobohan Ukraine.

“Pencerobohan tanpa provokasi dan tidak wajar Rusia ke atas Ukraine dan peningkatan pencerobohannya menggariskan keperluan untuk meneruskan usaha berterusan kami untuk meminta Rusia bertanggungjawab atas pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB, termasuk ancaman terhadap kedaulatan dan ruang udara Ukraine.”

Beliau memberitahu sidang akhbar Australia boleh “mempertimbangkan” untuk menarik balik tindakan itu jika Rusia “bersedia untuk kembali ke meja rundingan… tetapi kami tidak melihat tanda adanya niat baik dari Rusia mengenai perkara itu untuk beberapa waktu”. – 14 Mac 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen