PERKHIDMATAN tren China-Laos merekodkan pengendalian pengangkutan sebanyak 1.2 juta tan kargo dan 280,000 daripadanya adalah rentas sempadan, selain turut membawa 1.8 juta penumpang.
Jumlah itu berdasarkan statistik pengoperasian tren China-Laos yang memasuki hari ke-100 pada Sabtu.
Persekitaran yang selamat, hijau, cekap dan mudah merupakan faktor kepada penduduk tempatan menjadikan perkhidmatan kereta api itu sebagai pilihan utama untuk perjalanan.
Setakat ini, lebih 360 kereta api kargo rentas sempadan telah dibuka di 13 provinsi dan bandar di China untuk mengeksport barangan ke luar negara termasuk Laos, Myanmar, Kemboja, Thailand, Vietnam, Malaysia, Singapura, Bangladesh dan lain-lain.
Selain itu, perkhidmatan kargo sehenti Ekspres Lancang-Mekong juga diperkenalkan yang membolehkan masa perjalanan antara Kunming, China dengan Vientiane, Laos dikurangkan kepada 26 jam.
Menurut Naib Ketua Pengarah Stesen Kunming Timur, China Railway Group, Li Hongxing, jumlah kategori kargo yang dibawa tren China-Laos sudah melebihi 20 jenis, termasuk getah, baja kimia, produk elektronik, fotovolta, telekomunikasi, kenderaan, tekstil, sayur-sayuran dan bunga segar.
“Sejak pengoperasian tren itu, kos pengangkutan kargo dari Vientiane ke Kunming berkurangan sebanyak 40 hingga 50% selain kos di laluan domestik Laos dikurangkan 20 hingga 40 peratus,” kata Li. – Bernama, 14 Mac, 2022.
Komen