Media China tidak pro-Barat berhubung perang Ukraine


Beijing enggan menyokong atau mengutuk sekutu rapatnya Moscow, sebaliknya menyalahkan Amerika Syarikat dan Barat atas perluasan ke arah timur oleh Nato. – Gambar EPA, 14 Mac, 2022.

KETIKA sekatan Barat ke atas Moscow meningkat berikutan pencerobohan ke atas Ukraine, media China sebaliknya mengelak daripada menyalahkan Rusia malah menggambarkan simpati terhadap Presiden Vladimir Putin.

Beijing enggan menyokong mahupun mengutuk sekutu rapatnya Moscow, sambil menyalahkan Amerika Syarikat (AS) dan “perluasan ke arah timur” oleh Nato atas ketegangan yang semakin memburuk.

Ia adalah pandangan yang bergema di semua media negara itu termasuk di media sosial.

Apabila Putin mengumumkan serangan ke atas Ukraine pada 24 Februari, agensi berita rasmi China Xinhua mengekalkan ia adalah “operasi ketenteraan” dan Moscow “tidak berniat” untuk menduduki wilayah Ukraine.

Beberapa hari kemudian, penyiar CCTV mengulangi dakwaan palsu Rusia yang Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky telah meninggalkan Kyiv.

Beberapa laporan oleh China juga menyatakan terdapat lonjakan ideologi “neo-Nazi” di kalangan tentera dan rakyat Ukraine, dakwaan yang disokong oleh Putin.

Arahan kepada media milik negara, yang diedarkan dalam talian bulan lalu, dilihat mengarahkan supaya menyiarkan berita menguntungkan Rusia dan tidak dibernarkan terbit kandungan pro-Barat

Laporan media negara mengenai Ukraine mengelak menggunakan istilah seperti “pencerobohan”, sebaliknya menggambarkan situasi itu sebagai “konflik” atau “pergaduhan”.

“Ini bukan perjuangan untuk mencari mesej yang betul,” kata Justyna Szczudlik, penganalisis China di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Poland, kepada AFP.

“China sengaja guna bahasa yang sangat kabur,” tambahnya, menyatakan ini adalah untuk mengurangkan risiko diplomatik dalam hubungannya dengan negara-negara Barat.

Para pegawai juga menolak istilah “pencerobohan” apabila disoal oleh wartawan asing sambil memberikan kenyataan bercanggah yang China menghormati kedaulatan setiap negara tetapi tidak akan memihak. – AFP, 14 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen