PAKATAN Harapan (PH) perlu lebih anjal dan terbuka mencatur kerjasama dengan parti lain untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang termasuk dalam soal rundingan kerus, kata Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Ong Kian Ming.
PH juga perlu fleksibel dalam strategi kempen dan garis masa persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15, katanya.
Ong membentangkan ideannya dalam satu ulasan panjang lebar selepas prestasi hambar PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hujung minggu lalu, dan sebelumnya Melaka November tahun lepas.
“Melihatkan undi yang terpecah dalam kalangan parti dan gabungan pembangkang sehingga membolehkan Barisan Nasional menang peratusan kerusi yang melampau di Melaka dan Johor, jelas ada keperluan untuk parti-parti pembangkang duduk dan berbincang pelbagai pakatan dan formula untuk PRU15,” katanya.
BN menang 40 daripada 56 kerusi di Johor dan sebelumnya 21 daripada 28 kerusi di Melaka, dalam pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru.
Jelas Ong, parti pembangkang tidak perlu bersaing sesama sendiri untuk jadi parti pembangkang yang kuat kerana akhirnya yang lebih kuat ialah BN.
Namun beliau mengakui membawa semua parti pembangkang ke meja rundingan bukan perkara mudah kerana sejarah konflik yang wujud antara parti itu.
“Itu sebabnya PH, sebagai blok pembangkang terbesar, perlu ada pendekatan yang anjal,” katanya.
Beliau memberi contoh kerjasama DAP dan Amanah dengan Muda di enam kerusi di Johor.
“Pendekatan fleksibel sama boleh diambil menuju PRU15 tetapi di pentas yang lebih besar melibatkan percaturan yang lebih rumit di negeri dan persekutuan,” katanya.
Di Johor, DAP dan Amanah bertanding dengan logo PH sementara PKR bertanding menggunakan lambang partinya sendiri.
Ong mengakui pertembungan antara parti pembangkang tidak dapat dielak tetapi asasnya mereka perlu elak bertembung sesama sendiri.
Beliau mencadangkan rundingan secara tidak rasmi antara gabungan bermula di peringkat negeri untuk mengelak pertembungan tiga penjuru.
Beliau membayangkan kemungkinan PH tidak meletakkan kerusi di kawasan yang disandang Perikatan Nasional (melalui Bersatu), dan begitu juga sebaliknya bagi kawasan yang disandang PH.
Ong juga mencadangkan supaya Pejuang memberi tumpuan di Kedah atau wilayah utara sementara Warisan kembali fokus di Sabah.
Pada PRN Johor, semua calon Pejuang dan Warisan hilang wang pertaruhan. Pejuang yang meletakkan 42 calon meraih 18,692 undi atau 1.34% daripada keseluruhan undi sementara Warisan, melalui 6 calon, dapat 6,523 undi atau 0.47%.
Johor adalah pilihan raya pertama bagi Pejuang yang diluluskan pendaftarannya Julai 2021 dan juga yang pertama bagi Warisan dalam kempen melebarkan pengaruh di Semenanjung.
Kempen baharu
Mengenai kempen, Ong berkata PH tidak lagi boleh bergantung pada isu-isu yang membolehkannya menang PRU14.
“Kita mesti menggunakan strategi untuk menang walaupun hadirin di ceramah kurang,” katanya, dan menggariskan beberapa pendekatan kempen baharu, yang sesetengahnya sudah dipakai pada PRN Johor.
Beliau juga mengingatkan PH, PRU15 sudah dekat, “kemungkinan seawal Jun ini”.
Ong sedar cadangannya mungkin tidak dipersetujui oleh sebahagian penyokong PH.
Namun katanya realiti semasa memaksa semua parti dan gabungan untuk melihat segala kemungkinan. – 14 Mac, 2022.
Komen