Wartawan AS maut ditembak di Ukraine


Seorang wartawan AS maut ditembak, manakala seorang lagi cedera dalam satu insiden serangan tentera Russia di Irpin, di Kyiv, semalam. – Gambar AFP, 14 Mac, 2022.

SEORANG wartawan Amerika Syarikat (AS) maut ditembak, manakala seorang lagi cedera dalam satu insiden di Irpin, pinggiran barisan hadapan Kyiv yang berlaku beberapa pertempuran paling sengit sejak Russia menyerang Ukraine.

Mangsa dikenali sebagai Brent Renaud, 50, pembuat dokumentari video yang bekerja untuk Time Studios dalam projek mengenai isu pelarian global, kata media itu.

“Kami sangat kecewa dengan kehilangan Renaud. Adalah penting untuk wartawan dapat membuat liputan dengan selamat berkenaan pencerobohan dan krisis kemanusiaan yang berterusan di Ukraine,” kata ketua pengarang Time Edward Felsenthal dalam satu kenyataan.

Kad pengenalan New York Times yang ditemui pada Renaud membawa kepada laporan awal mangsa bekerja untuk akhbar itu.

Sementara itu, Persekutuan Wartawan Antarabangsa mengenal pasti wartawan yang cedera dalam insiden sama sebagai jurugambar AS, Juan Arredondo.

Mangsa ketiga, seorang warga Ukraine yang berada dalam kereta sama dengan dua warga AS itu juga cedera, menurut seorang doktor di tempat kejadian.

Wartawan AFP di Irpin melihat askar sukarelawan Ukraine bergegas membawa mayat menggunakan pengusung ke lokasi lebih selamat, sebelum meletakkannya di atas tanah untuk pengecaman lanjut.

Danylo Shapovalov, pakar bedah sukarela untuk pertahanan wilayah Ukraine berkata, Renaud meninggal dunia serta-merta akibat luka tembakan pada lehernya.

Pegawai Ukraine menyalahkan tentera Russia atas insiden tembakan itu, dengan Presiden Volodymyr Zelensky menyebutnya sebagai “serangan yang disengajakan oleh tentera Russia”.

Renaud wartawan antarabangsa pertama terbunuh di Ukraine sejak serangan Russia bermula pada 24 Februari.

Pada 1 Mac, seorang wartawan Ukraine maut ketika serangan peluru berpandu Russia yang menyasarkan menara televisyen Kyiv, yang membunuh lima pejalan kaki. – AFP, 14 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen