Siapa 18,000 pengundi Pejuang?


SELURUH 42 buah kerusi yang disertai oleh parti Pejuang Tanah Air tewas teruk dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2022 ini, termasuk saya di N17 Semerah.

Dalam konteks Malaysia, belum pernah ada mana-mana parti politik pembangkang mampu bertarung dan menyaingi lawan yang besar dan gagah secara bersendirian dalam pilihan raya.

Ini suatu realiti yang pahit bagi semua ahli dan pimpinan parti, namun realiti pahit ini sangat berguna kerana ia mengesahkan teori ‘pembangkang berpecah pembangkang tewas’ kini telah menjadi kenyataan.

Kos untuk mengesahkan pendapat ini, agak tinggi.

Tuan Puan,

Jumlah keseluruhan undi untuk calon Pejuang ibarat yang bertanding itu calon bebas, bukan parti Pejuang yang diasaskan oleh seorang tokoh besar negara.

Untuk menambah duka dan lara, Muda yang juga sebuah parti yang baharu, mendapat hampir 50,000 undi berbanding Pejuang yang hanya mendapat undi 18,000 lebih.

Inilah realiti yang harus diterima dengan lapang dada oleh semua ahli Pejuang kerana hajat sebenar Pejuang menyertai PRN Johor adalah sebagai persediaan menuju PRU15 kelak.

PRN Johor ini juga medan memperkenalkan parti, baik logo, calon dan dasar-dasar parti secara langsung dengan para pengundi dan media secara terbuka.

Walau bagaimana buruk sekalipun hasil PRN ini untuk Pejuang, jumlah undi yang diperolehi ini masih agak baik dan melebihi jumlah ahli Pejuang di Johor.

Di Johor ketika ini, ahli-ahli Pejuang yang berdaftar sejak tujuh bulan lalu sekitar 7,000 orang dan undi yang diperolehi oleh Pejuang secara keseluruhan di PRN Johor ini ialah 18,000 (18,692).

Jika seratus peratus ahli Pejuang keluar mengundi, Pejuang seharusnya mendapat 7,000 undi, namun demikian jumlah undi untuk Pejuang lebih 18,000. Mungkin ada dalam kalangan undi oleh ahli Pejuang disertai seorang dua lagi ahli keluarga dan rakan yang turut mengundi untuk Pejuang.

Saya sendiri di DUN Semerah, jumlah keahlian Pejuang yang berdaftar sejak tujuh bulan dahulu adalah 38 orang, dan jumlah undi yang saya terima 361 undi, dengan tempoh kempen selama kurang lebih 16 hari.

Bagi mereka yang kecewa, maklumat ini boleh membantu mereka untuk memahami dan mungkin boleh melegakan sedikit kekecewaan mereka.

Abang-abang dan kakak-kakak,

Ya, memang jumlahnya amat kecil tetapi kita harus memahami ranah politik. Perspektif kita harus betul kerana di sinilah ujian bagaimana kita sebagai pejuang, menerima realiti dengan penuh keinsafan dan dengan sikap yang positif.

Jangan lupa, 18,000 pengundi ini boleh menjadi asas kepada parti Pejuang memulakan langkah untuk bertapak di kawasan sepertimana parti-parti pembangkang yang lain sebelum ini.

Jika untuk membuka satu cawangan memerlukan 30 orang ahli, bermakna jika 18,000 orang yang memangkah, maka Pejuang boleh membuka sebanyak kurang lebih 600 buah cawangan di seluruh negeri Johor. Ini suatu jumlah yang agak baik bagi sebuah parti yang baharu yang belum mempunyai walau satu cawangan pun di negeri Johor.

Perlu juga diingat, 18,000 orang yang mengundi Pejuang ini adalah mereka yang benar-benar meyakini Pejuang yang terhimpit di tengah-tengah banyaknya parti politik di kelilingnya.

Mereka mengambil risiko yang cukup besar dan langkah yang berani untuk memangkah Pejuang. Ini suatu perkara yang indah untuk difahami oleh ahli-ahli Pejuang.

18,000 orang ini adalah manifestasi bahawa seramai 18,000 orang Johor menolak rasuah kerajaan kleptokrat.

18,000 orang ini juga adalah mereka yang menolak kerjasama (MoU) politik antara PH dengan kerajaan BN/PN. Ini kemenangan moral yang cukup baik untuk Pejuang.

Bagi saya, inilah makna-makna di sebalik nombor yang kecil. Bersabarlah dan berusahalah menjadi lebih baik dari sekarang.

Pejuang – dari tegak bertimpuh, biar rebah merempuh. – 14 Mac, 2022.


* Mahdzir Ibrahim, Pejuang Parit Sulong.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen