Obama positif Covid-19, galak orang ramai vaksin


Bekas presiden AS Barrack Obama positif Covid-19, namun bersyukur kerana gejala dihadapinya ringan disebabkan sudah menerima dos penggalak. – Gambar AFP, 14 Mac, 2022.

BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama mengesahkan dirinya positif Covid-19, namun bersyukur kerana gejala dihadapinya ringan disebabkan sudah menerima dos penggalak.

“Saya mengalami sakit tekak selama beberapa hari, tetapi saya sihat,” katanya melalui Twitter sambil menambah isterinya, Michelle Obama yang juga bekas wanita pertama negara itu setakat ini negatif.

“Michelle dan saya bersyukur kerana sudah divaksin dan menerima dos penggalak,” katanya.

Obama serta bekas presiden Jimmy Carter, George W Bush, Bill Clinton – dan beberapa bekas wanita pertama – muncul bersama dalam video seminit dikeluarkan Mac lalu, menyokong kempen vaksinasi AS dan berkongsi apa yang mereka rindu tentang kehidupan pra pandemik.

“Vaksin ini bermakna harapan…ia akan melindungi anda dan orang yang anda sayangi daripada penyakit berbahaya dan membunuh ini,” kata Obama melalui video itu.

Pada Ogos, Obama menyambut sederhana ulang tahunnya ke-60 disebabkan penularan varian Delta Covid-19.

Lawan politik Konservatif membidas bekas presiden itu kerana merancang menganjurkan parti terbuka di luar – di mana hadirin perlu menerima vaksin yang dijangka menarik ratusan tetamu selepas Demokrat mengkritik pentadbiran Donald Trump kerana menganjurkan beberapa acara tanpa pelitup muka di majlis di White House.

Obama mengulangi sokongannya terhadap vaksin di Twitter semalam, berkata ujian positifnya sendiri adalah “peringatan untuk mendapatkan vaksin jika anda belum melakukannya, walaupun kes menurun”.

Walaupun ada kawasan antivaksinasi yang lantang di negara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS berkata lebih 80% individu berusia lima tahun ke atas di negara itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Angka kes harian AS menurun mendadak menurut CDC, dengan purata 35,000 kes sehari pada pertengahan Mac berbanding puncak purata 810,000 kes sehari pada pertengahan Januari. – AFP, 14 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen