GEMPA bumi kuat melanda pulau utama Filipina Isnin, menggegarkan bangunan di ibu negara Manila.
Namun tiada laporan segera mengenai kerosakan dan amaran tsunami tidak dikeluarkan.
Gempa cetek berukuran 6.4 magnitud melanda kira-kira 110 kilometer (68 batu) dari Morong di wilayah Bataan di pulau Luzon pada 5:05 pagi (2105 GMT), yang mana penduduk di Manila dikejutkan dengan gegaran bangunan.
Gempa cetek cenderung untuk menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding gegaran dalam, namun Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina berkata kerosakan tidak dijangka.
“Ia kuat dan ia bergegar seolah-olah ia menari mengiring,” kata Leftenan Aristotle Calayag, pemangku ketua polis bandar Lubang di Occidental Mindoro, sebuah pulau di luar Luzon.
“Rakyat sudah biasa dengan gempa bumi seperti ini jadi mereka tidak tergesa-gesa keluar atau panik,” katanya.
Ketua polis Morong Kapten Michelle Gaziola memberitahu AFP gempa itu “agak kuat tetapi ia singkat”.
“Kami okey. Kebanyakan orang masih tidur.”
Filipina kerap digegarkan oleh gempa bumi kerana lokasinya di Lingkaran Api Pasifik, lengkok aktiviti seismik yang terbentang dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik. – AFP, 14 Mac, 2022.
Komen