Malaysia negara berdaulat


PERTIKAIAN sivil antara dua pihak akan berakhir juga dengan suatu penghakiman. Dalam penghakiman tersebut, Mahkamah boleh memutuskan bahawa satu pihak membayar sejumlah pampasan yang dipanggil jumlah penghakiman (judgment sum) kepada pihak yang satu lagi.

Pihak yang perlu membayar dipanggil penghutang penghakiman (judgment debtor). Sementara pihak yang menerima bayaran dipanggil pemiutang penghakiman (judgment creditor).

Bagi mendapatkan jumlah penghakiman, si pemiutang penghakiman perlu memulakan suatu prosiding yang dipanggil pelaksanaan penghakiman (enforcement of judgment). Melalui prosiding ini, si pemiutang penghakiman memohon untuk melaksanakan penghakiman.

Tanpa pelaksanaan, penghakiman hanyalah suatu ‘kemenangan’ atas kertas dan tidak bermakna.

Si pemiutang penghakiman boleh memulakan prosiding penghakiman di mahkamah di mana penghakiman itu diberikan, atau di mahkamah di negara lain.

Contoh: prosiding bagi melaksanakan penghakiman yang diberikan oleh mahkamah di Singapura boleh dimulakan di mahkamah di Malaysia.

Begitu juga sebaliknya.

Ini berlaku disebabkan oleh si penghutang penghakiman bermastautin di negara berkenaan atau – dan ini lebih penting lagi – terdapat aset di negara berkenaan untuk disita agar jumlah penghakiman boleh dilangsaikan melalui sitaan dan jualan aset si penghutang penghakiman.

Sebab itu penting dalam sistem perundangan dunia, suatu penghakiman yang diberikan oleh mahkamah sesebuah negara boleh dilaksanakan dalam negara lain.

Perundangan dan prinsipnya lebih kurang sama di mana-mana negara.

Contoh, Malaysia.

Penghakiman – termasuk dalam prosiding timbang tara (arbitration) – yang diberikan oleh mahkamah luar negara, yang dipanggil penghakiman asing (foreign judgment) – boleh dilaksanakan di Malaysia melalui prosiding yang diperuntukkan di bawah undang-undang bertulis (statute) atau di bawah prinsip-prinsip “common law”.

Terdapat dua undang-undang bertulis di Malaysia, iaitu “Reciprocal Enforcement of Judgments Act 1958” dan “Arbitration Act 2015”.

Sekiranya suatu penghakiman asing tidak boleh dilaksanakan di Malaysia di bawah undang-undang bertulis di atas, penghakiman tersebut masih boleh dilaksanakan di bawah prinsip-prinsip “common law”.

Prosiding pelaksanaan penghakiman asing telah, dan akan terus, dimulakan di Malaysia. Sebagai sebuah negara bermaruah, Malaysia akan membenarkan prosiding pelaksanaan penghakiman asing,malah memastikan prosiding tersebut adalah “effective” dan “efficient”.

Begitulah yang perlu dilakukan oleh waris kepada Sultan Sulu yang dilaporkan mendapat pampasan berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dalam satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Sebagai pemiutang penghakiman, waris berkenaan boleh memulakan prosiding pelaksanaan penghakiman di mana-mana negara yang menandatangani Konvensyen New York.

Tetapi perlu diingat, Artikel V Konvensyen tersebut menyatakan bahawa mahkamah di mana prosiding pelaksanaan dimulakan boleh enggan untuk mengiktiraf dan melaksanakan penghakiman tersebut.

Alasan-alasan untuk tidak mengiktiraf dan melaksanakan penghakiman dinyatakan dalam Artikel V(1)(a)-(e), iaitu:

(a)   ketidakupayaan sesuatu pihak atau ketidaksahihan perjanjian timbang tara berkenaan;

(b)   ketidakpatuhan proses timbang tara;

(c)    tribunal timbang tara melebihi wewenangnya;

(d)   tribunal timbang tara tidak dibentuk seperti diperuntukkan; dan

(e)   apabila sesuatu penghakiman atau pampasan menjadi tidak mengikat atau telah diketepikan atau digantung.

Jelas sekali, mahkamah – di negara mana pun ia – diberikan kuasa untuk enggan mengiktiraf dan melaksanakan sesuatu penghakiman atau pampasan yang diberikan oleh tribunal timbang tara antarabangsa.

Malah, apabila pihak yang satu lagi dalam prosiding timbang tara adalah sebuah negara berdaulat, negara berkenaan boleh mengemukakan apa yang disebutkan sebagai “defence of state incapacity or sovereign immunity”.

Pembelaan sebegini melibatkan hujah undang-undang yang kompleks. Pun begitu, mahkamah tetap harus memutuskan sama ada sebuah negara berdaulat itu kebal (immune) dari segi undang-undang.

Sudahkah waris kepada Sultan Sulu memulakan prosiding pelaksanaan penghakiman di mana-mana mahkamah di mana-mana negara?

Malaysia boleh mengemukakan pembelaan ketidakupayaan atau kekebalan negara berdaulat (state incapacity or sovereign immunity) sekiranya waris Sultan Sulu memulakan prosiding pelaksanaan penghakiman.

Malaysia adalah sebuah negara berdaulat.– 14 Mac, 2022.


* Hafiz Hassan adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen