Miami lepaskan jutaan nyamuk mandul untuk perangi penyakit


Miami melepaskan jutaan nyamuk mandul bagi menghapuskan populari nyamuk Aedse aegypti yang menyebabkan penyakit denggi, Zika dan chikungunya. – Gambar fail EPA, 10 Februari, 2018.

DALAM usaha untuk mengurangkan populasi nyamuk Aedes aegypti yang membawa penyakit, pegawai kesihatan di Miami melepaskan jutaan nyamuk yang dirawat dengan bakteria, menjadikan ia mandul.

“Layan ia dengan hati-hati! Anda tidak mahu menyakiti mereka,” kata Datuk Bandar Miami Selatan Philip Stoddard ketika sampel serangga itu dikeluarkan pada majlis akhbar Khamis.

Nyamuk Aedes aegypti, merebakkan penyakit denggi, Zika dan chikungunya.

Denggi menyebabkan demam, ruam, mual dan dalam sesetengah kes boleh membawa maut, sementara Zika boleh menyebabkan kecacatan kelahiran yang serius.

Pada 2016, ketakutan terhadap Zika mendorong badan kesihatan PBB mengisytiharkan kecemasan kesihatan antarabangsa, yang berakhir pada November tahun itu.

Pihak berkuasa Florida melakukan pewasapan udara dan tanah, tetapi penduduk mengadu ia tidak menyihatkan dan tidak berkesan.

Oleh itu projek mensteril nyamuk bernilai AS$4.1 juta diluluskan oleh Jabatan Kesihatan Florida.

Dihasilkan oleh sebuah syarikat AS, MosquitoMate, ia tidak mengubah suai nyamuk secara genetik tetapi sebaliknya dijangkiti dengan Wolbachia, bakteria yang hanya berkesan kepada serangga dan menyebabkan yang jantan mandul.

“Ia sangat biologikal dan selamat kepada alam sekitar. Tiada kesan pada serangga lain, manusia atau binatang peliharaan,” kata pengurus operasi lapangan MosquitoMate Patrick Kelly.

Memandangkan Aedes aegypti adalah spesies dari luar, jika ia dibasmi sepenuhnya tidak akan mengganggu ekosistem Florida, kata Kelly kepada AFP.

“Matlamat kami adalah menurunkan populasi Aedes aegypti di Miami Selatan,” kata Stoddard.

“Jika ia berjaya, langkah seterusnya akan dilakukan di kawasan lebih luas.”

Pada Ogos, juta nyamuk Aedes aegypti yang membawa bakteria sama telah dilepaskan di Rio de Janeiro. –  AFP, 10 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen