KITA tahu ada suara yang telah meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen.
Bahkan, kita boleh tanya sesiapa sahaja pun, baik ahli Umno atau MKT atau barisan Jemaah Menteri hatta rakyat di luar sana pun, mereka juga mahukan satu Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan bagi membolehkan Parlimen mendapat mandat baharu.
Pertama, saya tak perlu berselindung yang kita, pada ketika ini, benar-benar mahu satu mandat yang dapat menzahirkan aspirasi rakyat secara jelas selepas naratif politik negara kita berubah 360 darjah pasca PRU-14.
Sebagai ahli sebuah parti yang rebah selepas 60 tahun mentadbir, sudah pasti saya mahu Umno dan Barisan Nasional yang kini kembali kukuh, terus menjadi teras pentadbiran Kerajaan di peringkat Pusat dan juga negeri.
Saya yakin, selepas apa sahaja yang berlaku pasca PRU-14, Umno dan Barisan Nasional sudah mula “adapt and adopt” perubahan yang berlaku.
Sebab itu, dalam kekusutan politik yang berlaku akibat kelemahan Kerajaan Pakatan Harapan selepas 22 bulan, Umno dan BN ambil pendekatan yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini, iaitu pendekatan pentadbiran merentas gabungan politik untuk menstabilkan Kerajaan.
Kalau tidak, kita mungkin terpaksa mengadakan PRU15 jauh lebih awal dalam keadaan kita tidak bersedia dan negara dihambat pandemik Covid-19 ketika itu. Rakyat pasti marah dan tidak akan memaafkan kita.
Kedua, bertitik tolak daripada itu, pada masa ini, Umno ditakdirkan Allah, meskipun kalah PRU-14, menjadi teraju Kerajaan. Alhamdulillah. Satu lagi perkara yang kita pun tidak terbayangkan boleh terjadi.
Jadi sudah pastinya kita akan mula mencongak, bilakah PRU15 boleh dilakukan? Kita sudah buktikan bahawa 7 daripada 12 PRK yang diadakan selepas PRU14 dimenangi oleh BN. Begitu juga sokongan yang kita terima di Sabah, kemenangan besar di Melaka dan hadiah kemenangan 40 kerusi di Johor.
Semua ini adalah faktor-faktor yang dibawa dalam “equation and calculation” kita ke arah PRU-15.
Malah, kita juga sudah berada di Penggal Kelima, Parlimen ke-14 yang baru dibuka minggu lalu.
Bak kata orang, nak tunggu apa lagi?
Sokongan telah ada, kestabilan dapat kita wujudkan, Covid-19 pun kita dapat urus dengan baik, ekonomi dan pelaburan negara semakin bertambah baik,…kita pun akan masuk ke fasa peralihan ke endemik tidak lama lagi. Sempadan negara juga akan dibuka.
Ini semua merupakan faktor yang jelas dan rakyat dapat lihat. Rakyat dapat rasa. Rakyat dapat lihat perubahan yang dibawa oleh kepimpinan Kerajaan yang diterajui oleh Ismail Sabri, perdana menteri daripada Umno.
Malah, di bawah pentadbiran Ismail Sabri juga kita dapat lihat satu MoU antara Kerajaan dan Pembangkang dimeterai.
Rakyat dapat lihat bahawa kepimpinan pada ketika ini ada rentak pengalaman yang membolehkan kita wujudkan semula kestabilan.
Masa
Cuma bagi saya, satu sahaja perkara yang perlu kita bincang sedalamnya iaitu soal bila,…soal “timing”.
Salah satu daripada strategi Sun Tzu yang biasa menjadi rujukan dalam merencana strategi ialah soal ketepatan masa dan waktu untuk turun berentap di medan pertarungan.
Dalam Bahasa Inggeris disebutkan, “He will win who knows when to fight and not to fight”.
Menyusun strategi kemenangan tidak boleh berasaskan seluruhnya kepada gempita emosi. Kebijaksanaan pemimpin dilurutkan ke meja perbincangan dan bermuafakat untuk menggilap asas kekuatan sebenar.
Kita dalam kepimpinan Umno dan Barisan Nasional ini ada kaedah dan cara tersendiri serta berpegang kepada disiplin parti. Keputusan untuk perkara sepenting ini, kita tidak boleh bincang di sebarang tempat. Kepimpinan parti dan YAB Perdana Menteri perlu duduk bersama untuk membincangkannya.
Ini kerana, kita perlu akui bahawa hanya perdana menteri mempunyai kuasa perlembagaan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan. Tidak ada orang lain.
Runding
Namun, untuk perdana menteri memohon sembah menghadap Agong, sudah pastinya ia perlu dirunding sedalam-dalamnya dengan kepimpinan parti, MKT dan Dewan Tertinggi BN.
Pertimbangan dalam menentukan masa, “timing” ini, kita harus mengambil kira dua perkara iaitu persediaan parti dan “delivery” Kerajaan pada hari ini.
Ia harus dilihat bersama. “Both equally important”.
Jentera parti mesti dalam kesiapsiagaan yang maksimum… dan ikhtiar-ikhtiar kita, “deliverables” kita dalam kerajaan, telah sampai kepada rakyat.
Peratusan keluar mengundi sewaktu PRN Melaka (65.85 %) dan PRN Johor (54.92 %) wajar dilihat dalam konteks yang lebih strategik. Ramai juga ahli akademik yang menyebut istilah “political fatigue”.
Kelelahan politik ini, andai dijolok lagi dengan PRU dalam sengga masa yang tidak selesa, dikhuatiri boleh menatijahkan keputusan yang berbeza.
Sebab itu saya kata “timing” itu penting. “It must be right”.
Pertambahan pengundi hampir sebanyak 7 juta dalam PRU-15 juga mesti diurus dengan baik oleh SPR. Kita tidak meremehkan sikap profesional SPR.
Namun, PRU dalam landskap baharu memerlukan persediaan jauh lebih rapi. Segala ruang dan sistem pilihan raya perlu efisien, kemas dan dalam keadaan terbaik.
Strategik
Sebab itulah, penentuan tarikh PRU haruslah strategik. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, segala angkubah yang ada wajar dipastikan mantap dan padu.
Ekonomi diletak pada landasan pemulihan, poket rakyat terisi, kesihatan awam terpelihara, kemampuan dan wibawa kerajaan di tahap yang terbaik. Ini semua memerlukan penelitian. Keputusan perdana menteri perlu juga didukung seutuhnya oleh segenap kekuatan jentera parti.
Kemenangan BN sememangnya wajar dirai dan dihayati, bahkan perlu dilorong supaya kekal, membugar dukungan rakyat terhadap parti sehingga tarikhnya nanti.
Kemenangan yang ditanggapi dengan sikap tawaduk, rendah diri dan penuh rasa insaf akan lebih dihormati. Ia tidak pernah menjadi usaha individu – malah diperkukuh keringat dan kesungguhan setiap seorang pendukung parti yang setia.
Jadi, saya sebagai ahli parti meminta semua pihak di semua peringkat supaya kita berikan ruang, mandat dan kepercayaan kepada perdana menteri dan pucuk pimpinan untuk berbincang sebaiknya dalam menentukan, “timing” yang tepat untuk kita berpencak dalam PRU15. – 13 Mac, 2022.
* Reezal Merican Naina Merican, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen