PEGAWAI Ukraine semalam menuduh Rusia merancang referendum palsu pembentukan “republik rakyat” pro-Moscow di sebuah bandar terletak di selatan Laut Hitam, Kherson.
Tentera Rusia menakluk bandar pelabuhan itu yang mempunyai penduduk sekitar 290,000 orang pada 3 Mac lepas selepas pertempuran selama tiga hari. Ia adalah bandar utama pertama jatuh selepas pencerobohan Rusia.
“Rusia kini terdesak untuk menganjurkan ‘referendum’ palsu untuk ‘republik rakyat’ palsu du Kherson,” kata Menteri Luar Dmytro Kuleba di Twitter.
Disebabkan “sifar sokongan popular”, referendum sebegitu “akan sepenuhnya dirancang”, tambahnya.
“Sekatan lebih berat ke atas Rusia perlu dikenakan jika mereka meneruskan (referendum). Kherson adalah dan sentiasa menjadi Ukraine,” tambah menteri itu.
Kuleba menyamakan rancangan terbaru Rusia itu seperti penaklukan Rusia di Crimea pada 2014, apabila mereka mengadakan referendum untuk wilayah itu menyertai Rusia selepas meletakkan tenteranya di sana.
Rancangan di Kherson sama seperti “rancangan 2014”, kata Kuleba.
Pegawai Ukraine Lyudmyla Denisova menulis di Telegram yang Rusia yang menakluk kawasan itu sudah menghubungi wakil rakyat kerajaan tempatan meminta mereka mengundi pelan itu.
Denisova berkata referendum itu adalah tidak sah dilakukan di wilayah jajahan kerana mengikut undang-undang Ukraine sebarang isu berkaitan kedaulatan wilayah perlu diselesaikan dengan referendum peringkat nasional. – AFP, 13 Mac, 2022.
Komen