SEBULAN selepas pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan pemotongan dana drastik kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin, hanya satu negara, Kuwait, menawarkan pembiayaan tambahan, kata pegawai kanan UNRWA pada Jumaat.
Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pada Januari ia akan memberikan AS$60 juta kepada UNRWA - sebahagian kecil daripada lebih AS$350 juta sumbangan tahunan yang sebelum ini diberikan kepada bajet agensi.
Kuwait menyumbang $900,000 dan kira-kira 15 negara menderma, termasuk Sweden dan Jepun, memutuskan untuk mempercepatkan sumbangan mereka bagi memastikan UNRWA terus bergerak, kata wakil UNRWA di New York Peter Mulrean.
Bagaimanapun, Mulrean memberitahu wartawan di ibu pejabat PBB agensi itu menghadapi “kewujudan krisis kewangan” ketika ia berusaha untuk mengisi jurang akibat pemotongan pembiayaan AS.
AS adalah penderma tunggal terbesar kepada UNRWA, yang menyediakan sekolah dan klinik kesihatan kepada 5.3 juta pelarian di wilayah Palestin, Jordan, Lebanon dan Syria.
Bulan lalu, Duta Besar AS Nikki Haley berkata AS tidak akan memberikan bantuan kepada rakyat Palestin sehingga mereka bersetuju “kembali ke meja perundingan” dan mencapai kesepakatan damai dengan Israel.
“AS belum menjelaskan kepada kita rasional di sebalik keputusannya mengenai AS$60 juta itu,” kata Mulrean, sambil menambah Washington tidak memperlihatkan kebimbangan mengenai pembaharuan.
Dalam temu bual bersama Voice of America, Haley berkata UNRWA perlu diperbaharui, kerana mereka menganggap “semua Palestin sebagai pelarian” dan “apa yang mereka ajarkan di sekolah tidak semestinya cara yang betul untuk menjalankan sesuatu.”
UNRWA berulang kali dituduh mempromosikan sentimen anti-Israel di sekolah, satu pertuduhan yang ditolak dengan tegas.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres akan menghadiri persidangan penderma peringkat menteri untuk UNRWA yang akan diadakan bulan depan di Geneva bagi mengisi jurang pembiayaan, tetapi tetap tidak jelas sama ada AS akan hadir.
Pengarah UNRWA untuk Tebing Barat, Scott Anderson, berkata semua perkhidmatan agensi itu masih berjalan untuk sementara waktu, tetapi keputusan itu membangkitkan rasa cemas di kalangan rakyat Palestin.
“Orang ramai risau dan bimbang mengenai kesannya kepada mereka, keluarga dan masa depan,” katanya. – AFP, 10 Februari, 2018.
Komen