PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden meluluskan AS$200 juta bagi pertambahan peralatan ketenteraan untuk Ukraine pada Sabtu, ketika Rusia meluaskan pengeboman dan menyasarkan kawasan awam.
Washington sebelum ini meluluskan AS$350 juta peralatan ketenteraan pada 26 Februari—pakej terbesar dalam sejarah AS.
Rayuan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky bagi bantuan semakin terdesak, dan berulang kali mendesak Washington, EU dan Nato untuk mendapatkan bantuan.
Dalam memorandum kepada Setiausaha Negara AS Antony Blinken, Biden memperuntukkan sehingga agregat AS$200 juta bagi bantuan kepada Ukraine.
Rusia berkata pada Sabtu, tenteranya mungkin menyasarkan bekalan senjata Barat di Ukraine dan bantuan senjata akan dijadikan konvoi sasaran.
Kelulusan bantuan ketenteraan terbaharu AS datang dua hari selepas Jabatan Negara AS menolak cadangan menghantar jet pejuang MiG ke Ukraine melalui pangkalan Amerika, berkata usaha Kyiv menangkis pencerobohan Rusia akan lebih baik dengan bekalan senjata darat.
Washington sebelum ini meluluskan AS$60 juta bantuan ketenteraan kepada Ukraine pada musim gugur lalu, diikuti AS$200 juta lagi pada Disember untuk senjata dan peluru.
Biden menolak tindakan langsung AS di Ukraine, memberi amaran pertempuran berikutnya terhadap Rusia akan membawa kepada Perang Dunia ke-3.
Sementara itu, pemimpin EU pada Jumaat berusaha untuk menggandakan pembiayaan bantuan ketenteraan kepada Ukraine dengan tambahan 500 juta euro (sekitar AS$550 juta).
Dalam mesej video yang dirakam di luar pejabat presidennya di Kyiv, Zelensky menuntut EU “melakukan lebih banyak” untuk membantu negaranya. – AFP, 13 Mac, 2022.
Komen