DUA individu cedera ditikam di Muzium Seni Moden yang berprestij di New York pada Sabtu, kata polis, menyebabkan muzium itu terpaksa dikosongkan.
Dua mangsa wanita berada dalam keadaan stabil dan dibawa ke Hospital Bellevue berdekatan, kata seorang jurucakap Jabatan Polis New York (NYPD) memberitahu AFP.
Kecederaan mereka dijangka tidak mengancam nyawa, menurut NBC.
Polis belum mengenal pasti mangsa serangan itu, yang berlaku pada 4.16 petang (2116 GMT).
Jurucakap NYPD memberitahu AFP belum ada tangkapan dibuat dan tidak memberikan butiran tentang kemungkinan motif yang menyebabkan insiden tikaman itu.
Bagaimanapun, media Amerika Syarikat melaporkan polis sudah mengenal pasti suspek.
Jabatan polis New York menulis di Twitter orang ramai dinasihatkan mengelak daripada menghampiri kawasan muzium kerana pihak polis sedang menjalankan siasatan.
Pelbagai saluran berita, serta siaran media sosial, menunjukkan imej orang ramai berdiri di luar muzium, destinasi pelancongan popular, selepas ia dikosongkan. – AFP, 13 Mac, 2022.
Komen