PRN Johor: Yang menang, yang tersungkur


The Malaysian Insight

Regu Zahid Hamidi dan Najib Razak ternyata berjaya membantu BN memenangi PRN Johor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Mac, 2022.

BARISAN Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menyapu 40 daripada 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri melalui penyertaan pengundi yang rendah.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh malam tadi mengumumkan 1,426,573 orang atau 54.92% daripada pengundi berdaftar di Johor keluar mengundi, termasuk pengundi awal dan pengundi pos.

Jumlah itu hampir menyamai jumlah pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi rendah dalam konteks jumlah pengundi berdaftar hampir 2.6 juta orang, susulan penambahan hampir 780,000 pengundi baharu.

Dengan jumlah pengundi yang rendah, sukar untuk dirumuskan sama ada pengundi Johor sudah bersuara atau mereka sebenarnya jelak dengan politik sehingga tidak mahu mengundi.

Sentimen itu memberikan mandat yang jelas yang diperlukan BN, yang menjadi alasan pilihan raya semalam diadakan lebih awal daripada tempoh mandat sehingga pertengahan tahun depan.

The Malaysian Insight meninjau makna keputusan PRN Johor semalam iaitu PRN yang keempat sejak PRU 2018 – selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.

Yang Untung

BN

BN sekali menunjukkan kemampuannya ketika pengundi yang mengundi kurang dan pembangkang tidak bersatu.

Pengkritik BN akan berhujah betapa undi popular gabungan itu tidak mencerminkan jumlah pengundi tetapi dalam sistem pilihan raya pemenang undi terbanyak, hujah itu tidak mustahak.

Hakikatnya, BN menang dan akan mentadbir Johor untuk lima tahun akan datang.

Dengan 40 kerusi yang dimenanginya, BN mempunyai majoriti lebih dua pertiga dan boleh mengabaikan pembangkang seperti sebelum ini. Bagaimanapun BN Johor menjanjikan peruntukan sama rata untuk semua wakil rakyat tanpa mengira parti.

Dengan majoriti dua pertiga, kerajaan BN ini juga akan mudah melakukan persempadanan semula kawasan PRN dan menggubal enakmen antilompat parti, seperti janji manifestonya.

Kemenangan besar ini juga mengukuhkan keyakinan BN untuk mendesak PRU lebih awal. Malam tadi, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang tiba di pejabat Umno Johor disambut dengan sorakan “bubar Parlimen.”

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin bagaimanapun dalam sidang media malam tadi mengingatkan janji sokongan kepada pentadbiran Ismail Sabri iaitu merundingkan pembubaran Parlimen dengan parti-parti kerajaan yang lain.

Regu Zahid-Najib

Siang dan malam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak tebal telinga mendengar cemuhan tentang kes mahkamah yang mereka hadapi, dan betapa pilihan raya ini helah mereka untuk melepaskan diri.

Mereka memekakkan telinga dan terus berkempen mesej BN untuk politik yang stabil. Kempen mereka berjaya.

Biarpun mesej itu tidak diyakini pengundi bandar, ia cukup untuk BN menang 19 daripada 20 kerusi luar bandar. Ia juga merampas 21 kerusi yang dahulunya dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan PN.

Berbekalkan keputusan PRN Johor, Zahid dan Najib akan melangkah megah ke Perhimpunan Agung Umno minggu depan biarpun masih berhadapan kes di mahkamah.

PKR hanya menang satu daripada 20 kerusi yang ditandinginya di PRN Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2022.

Yang tersungkur

PKR

Semasa menggunakan logo PH di Melaka, PKR yang bertanding 11 kerusi tidak menang satu kerusi pun. PKR memilih untuk menggunakan logonya sendiri di Sarawak – pun kalah semua 28 kerusi yang ditandingi.

Dengan menggunakan logonya sendiri sekali lagi di Johor, PKR menang satu daripada 20 kerusi.

Ini bermakna selepas tiga PRN dan selepas bertanding 59 kerusi di tiga negeri, PKR hanya menang satu kerusi.

Kenapa pengundi menolak PKR? Adakah semata-mata kerana logo? Atau, ada masalah kepimpinan dalam parti yang diketuai Anwar Ibrahim ini?

Persoalan ini dibawa ke dalam pemilihan parti, yang akan bermula hujung April ini.

Nasib parti baharu

PRN Johor disertai tiga parti baharu – Pejuang, Muda, dan PBM. Ia juga disertai parti kecil Putra dan PSM, serta parti yang berpangkalan di Sabah iaitu Warisan. Keseluruhannya semua parti ini meletakkan 61 calon.

Kecuali Muda yang menang Puteri Wangsa dengan bantuan Amanah dan DAP, semua calon itu kalah.

Lebih teruk lagi, semua calon Pejuang, Putra, PBM dan Warisan hilang pertaruhan. Ertinya, mereka tidak dapat pun 12.5% daripada undi di kawasan masing-masing.

Apa nasib mereka pada PRU15?

Pembangkang

Pada 2018, PKR, Bersatu, DAP, dan Amanah yang bergabung memaksa pertarungan satu lawan satu dengan BN. BN hanya menang 19 kerusi, sementara PH menang 36 kerusi.

Sekiranya keutamaan mereka ialah menumbangkang BN, pembangkang perlu memikirkan strategi menjelang PRU15.

Penyokong mereka juga perlu bermuhasabah sekiranya mahu mengalahkan BN sekali lagi. – 13 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen