Peniaga mahu pulihkan imej Petaling Street, tiada lagi barangan berjenama palsu


Angie Tan

Gerai barangan berjenama tiruan wujud kerana masih terdapat permintaan, walaupun pelanggan yang menggemari jenama palsu kini semakin berkurangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2022.

BERUSIA lebih 100 tahun, Chinatown di Petaling Street menjadi salah satu daripada tarikan utama pelancong di ibu negara.

Bagaimanapun, kawasan itu juga dilabelkan sebagai syurga barangan palsu bagi beg berjenama, kasut, jam tangan dan pakaian.

Malah, walaupun ia digelar Chinatown, ramai pemilik perniagaan lebih suka mengupah buruh asing murah untuk menguruskan kedai dan gerai, sekali gus menjadikan kawasan itu hilang warisan tersendiri.

Ia juga diletakkan dalam senarai Pasaran Terkenal AS untuk pemalsuan dan cetak rompak sejak 2018.

Perniagaan di Petaling Street kini cuba merombak semula imej ini, dengan harapan ia akan mendorong lebih ramai orang ke kawasan itu, lebih-lebih lagi ketika Malaysia bersedia untuk membuka semula sempadan kepada pelancong antarabangsa 1 April depan.

Beberapa pemilik perniagaan lama di kawasan itu, bagaimanapun, tidak fikir berada dalam senarai AS mempunyai banyak impak, kerana permintaan pengguna mendorong penjualan dan pengeluaran barangan tiruan. Senarai yang sama turut menamakan China sebagai pengeluar terbesar barangan palsu.

Chong Yoke Yean yang mengusahakan restoran ladu nasi popular Ho Yoke Kee, berkata ia adalah fakta lama Petaling Street menjual jam tangan Rolex palsu dan barangan berjenama palsu lain, dan sebelum wabak Covid-19, berada dalam senarai AS tidak banyak menjejaskan perniagaan.

“Adalah fakta terdapat barangan tiruan dijual di sini.

“Perkara yang sama berlaku untuk banyak pasaran di seluruh dunia kerana terdapat permintaan daripada pelanggan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Senarai atau tidak, pelancong tidak akan melupakan Petaling Street kerana ia merupakan destinasi ikonik untuk pengunjung, tambahnya.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur Ang Say Tee berkata sejak 10 tahun lepas, Petaling Street antara lain digelar sebagai “jalan buruh asing” dan “jalan tiruan”.

“Jika orang nak panggil begitu, kita tak boleh nak cakap apa. Di pihak kami, kami hanya boleh bergerak ke arah matlamat dasar sifar buruh asing dan sifar palsu untuk memperbaiki keadaan,” kata Ang.

“Dengan usaha dan kerjasama daripada perniagaan di sini, kami boleh menyingkirkan stigma ini.”

Malah, hanya kurang 10% daripada vendor menjual barangan palsu, tambah Ang.

Petaling Street turut dikenali sebagai 'jalan buruh asing' dan 'jalan tiruan'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2022.

“Pada 2018, gerai tiruan menyumbang 30% daripada perniagaan di sini.

“Terima kasih kepada pandemik Covid-19 hanya 10% yang tinggal.”

Gerai barangan berjenama tiruan ini wujud kerana masih terdapat permintaan, walaupun pelanggan yang menggemari jenama palsu kini semakin berkurangan, kata Ang.

Kini, memasuki tahun ketiga pandemik dan dengan banyak aktiviti ekonomi yang menyesuaikan diri dengan kehidupan dengan wabak Covid-19.

Ang berkata ia adalah peluang yang tepat pada masanya untuk mengubah Petaling Street.

“Saya harap orang ramai akan memberi kami sedikit masa dan kami boleh mengalu-alukan kedatangan pelancong pada masa hadapan dengan reputasi yang bersih.”

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun berkata cadangan untuk merombak Petaling Street telah dikemukakan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun tiada sebarang kemas kini setakat ini.

Fong berkata beliau juga telah membincangkan rombakan kawasan itu dengan Ang.

“Selain menaik taraf infrastruktur, gerai-gerai itu mesti dikendalikan penduduk tempatan.

“Kami berharap untuk menjadikan Petaling Street sebagai tempat yang menjual makanan istimewa tempatan,” kata Fong.

“Anda sepatutnya boleh membeli makanan dan barangan tempatan tulen di sini. Penjual di sini mesti beralih daripada menjual tiruan.” – 13 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen