POLIS mengesahkan satu kematian membabitkan seorang lelaki warga emas di satu pusat mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Muar hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar Zaharudin Rasip, berkata siasatan awal mendapati lelaki tempatan berusia 78 tahun itu rebah secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri di tempat kejadian sebelum kematiannya disahkan oleh pegawai perubatan.
“Siasatan dijalankan setakat ini mendapati kematian lelaki itu bukan disebabkan sebarang unsur jenayah dan si mati dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaharudin berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian.
Beliau menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang isu sensitif berhubung kejadian itu di media sosial sebelum mendapat kenyataan rasmi daripada polis.
Katanya, ia bagi mengelak sebarang salah anggap dan spekulasi negatif yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – Bernama, 12 Mac, 2022.
Komen