Setengah juta ahli bukan jaminan kemenangan MCA, kata penganalisis


Liow Sze Xian

Walaupun MCA mempunyai kira-kira 1.1 juta ahli, penganalisis politik menyatakan asas keahliannya yang besar tidak semestinya dapat diterjemahkan ke dalam bentuk undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2018.

SEJAK tiga tahun lalu, MCA secara senyap-senyap mengukuhkan semula hubungan dengan lebih 550,000 ahlinya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Melalui panggilan telefon, lawatan dari pintu ke pintu dan aktiviti promosi, kempen berhati-hati oleh parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN) itu bertujuan untuk memperkukuhkan sokongan pilihan raya bagi gabungan parti pemerintah.

Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong mengesahkan terdapat kempen berterusan untuk menyambung semula hubungan parti itu dengan ahlinya.

Parti etnik Cina itu mempunyai kira-kira 1.1 juta ahli, tetapi penganalisis politik menyatakan asas keahliannya yang besar tidak semestinya dapat diterjemahkan ke dalam undi.

Walaupun ia bukanlah satu usaha kecil bagi MCA untuk mewujudkan semula hubungan dengan lebih setengah juta ahli dalam tiga tahun, penganalisis politik Dr Phoon Wing Keong berkata tiada jaminan semua ahlinya akan mengundi MCA pada pilihan raya akan datang.

“Ramai ahli MCA tidak menyokong parti mereka sendiri. Ramai yang menyertai parti untuk tujuan perniagaan, mendapatkan kontrak. Ini adalah ahli yang mungkin mengundi DAP,” kata Phoon.

Sebagai contoh, walaupun MCA mempunyai lebih sejuta ahli pada 2013, hanya 661,469 rakyat Cina Malaysia mengundi BN. Sebaliknya, 2.92 juta rakyat Cina Malaysia mengundi pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat yang kini tidak lagi berfungsi.

Akibatnya, MCA mengalami keputusan pilihan raya paling teruk dalam sejarah, memenangi hanya tujuh kerusi persekutuan dan 11 kerusi negeri.

Ia adalah penurunan yang ketara berbanding 15 kerusi Parlimen dan 31 kerusi negeri yang dimenanginya pada 2008.

Phoon berkata, sementara DAP yang hanya mempunyai 84,000 ahli sebelum pilihan raya 2008, ia memperoleh lebih sejuta undi dalam pilihan raya.

Pada 2013, DAP memenangi 38 daripada 51 kerusi Parlimen dan 95 daripada 103 kerusi negeri yang dipertandingkan.

Walaupun DAP menggandakan jumlah keahliannya kepada 160,000 pada 2014, ia masih kurang 15% daripada MCA.

PKR memenangi lebih 20 kerusi Parlimen pada 2013 walaupun kemasukan keahliannya juga jauh lebih kecil daripada MCA, kata Phoon.

Penganalisis politik James Chin bersetuju bahawa asas keahlian yang besar tidak selalunya akan diterjemahkan dalam pilihan raya.

Kingmaker adalah orang awam yang bukan menjadi ahli,” kata Chin, sambil menambah ramai rakyat Cina Malaysia tidak berpuas hati dengan MCA kerana berdiam diri terhadap skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan ketidakpuasannya kepada Umno.

Phoon berkata MCA yang berusia lebih 60 tahun, mungkin mengumpulkan ramai ahli tetapi ini tiada kaitan dengan kekuatan politiknya.

“Menyerahkan borang sudah cukup untuk menjadi ahli, tidak ada pemilihan atau pemeriksaan dan selagi anda bersedia untuk menyertai dan membayar yuran, anda dikira ahli. Sebagai perbandingan, parti politik di Singapura dan China lebih ketat, mereka memeriksa dan menyaring sebelum mengakui seseorang itu sebagai ahli.

“Inilah sebab mengapa MCA mempunyai ramai ahli yang tidak aktif,” kata Phoon.

Beliau berkata MCA juga perlu menyingkirkan “ahli hantu” yang ditambah dalam daftar keanggotaan hampir 10 tahun lalu apabila bekas timbalan presidennya Chua Soi Lek dan bekas presiden Ong Tee Keat terlibat dalam pergelutan kuasa.

Phoon berkata MCA mempunyai hubungan lebih baik dengan pelbagai persatuan Cina berbanding DAP.

Bagaimanapun, beliau berkata adalah lebih penting bagi MCA memberi tumpuan perhatian kepada peningkatan kualiti ahli-ahlinya, lebih berani dan jelas menyuarakan pendirian, menganalisis dan menyelidik dasar awam bagi menarik ahli yang lebih berkualiti.

“Jika tidak, walaupun anda mempunyai lebih hanya ahli, ia hanya jentera besar yang lemah.” – 10 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kemenangan bukan terletak nya daripada sesuatu parti itu ..perpaduan adalah jaminan kemenangan seperti parti campuran pakatan harapan mereka tiada persefahaman dan perpaduan .saling tikam menikam untuk naik jadi calon PM .PRU 14 akan menentukan siapa layak memerintah

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan