POLIS Kelantan mengerahkan lebih 500 anggotanya untuk memperketatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri itu menjelang pembukaan semula sempadan negara pada 1 April depan.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun, berkata anggota Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am turut ditugaskan termasuk melakukan rondaan di 92 pangkalan haram yang terdapat di sekitar kawasan sempadan negara.
“Tugasan rondaan memberi fokus kepada pencegahan penularan Covid-19 dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Kami menjangkakan ada pertambahan pergerakan keluar dan masuk sempadan… Polis Kelantan bersiap siaga dengan segala kemungkinan termasuk mengekang aktiviti penyeludupan melalui darat atau air,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir bagi program ‘Tangan Bersalaman’ di Sekolah Kebangsaan Gual To’ Deh dekat Rantau Panjang hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April ini.
Beliau berkata, langkah itu selari dengan perancangan memasuki fasa peralihan ke endemik yang akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. – Bernama, 12 Mac, 2022.
Komen