Suspek kes rompak di Puchong Prima guna pistol polis


SUSPEK yang menembak mati seorang pengawal keselamatan dan mencederakan seorang lagi dalam kes rompakan bank di Puchong Prima dekat Shah Alam semalam dipercayai menggunakan pistol yang dicuri milik seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang dibunuh pada 31 Ogos 2017.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed, berkata pistol jenis Walther P99 itu dipercayai dirampas daripada Valentino Mesa yang meninggal dunia kerana diserang dan ditembak seseorang di pondok polis komuniti Pinggiran USJ.

“Siasatan awal mendapati pistol yang digunakan dalam rompakan nekad berhampiran bank semalam dicuri daripada anggota kita yang meninggal dunia itu. Dengan penahanan lelaki warga tempatan berusia 38 tahun, pistol itu berjaya kita rampas kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung perkembangan kes rompakan nekad berhampiran sebuah bank di Puchong Prima, semalam yang menyebabkan seorang pengawal keselamatan ditembak mati dan seorang lagi cedera.

Pada 31 Ogos 2017, media melaporkan Valentino, 29, ditemukan meninggal dunia oleh anggota Unit Peronda MPV yang pulang daripada rondaan pada jam 3.25 pagi dengan kesan tembakan di badan di pondok polis itu.

Selain itu, Arjunaidi berkata, pihaknya juga turut mengesan enam kes samun bersenjata api di sekitar Selangor yang disyaki dijalankan secara solo oleh suspek dan dipercayai turut menggunakan pistol itu dalam semua kes.

Mengulas berhubung kes semalam, Arjunaidi berkata, kejadian yang berlaku pada jam 5.50 petang itu adalah semasa empat pengawal keselamatan syarikat keselamatan sedang memindahkan wang tunai berjumlah RM1.03 juta daripada bank ke sebuah van.

“Kemudian berlaku pergelutan antara suspek dengan pengawal… suspek melepaskan tiga das tembakan yang satu daripadanya terkena belakang seorang pengawal keselamatan yang menyebabkan pengawal itu meninggal dunia.

“Dua lagi das tembakan pula satu daripadanya terkena bahagian rusuk kiri seorang lagi pengawal keselamatan yang kini dirawat di Hospital Serdang.

“Semasa kejadian, suspek berjaya membawa lari wang dianggarkan RM500,000 dan semasa ditahan, kami merampas RM350,000 yang ada pada suspek,” katanya.

Terdahulu, suspek kes rompak berhampiran bank di Puchong Prima itu direman selama tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – Bernama, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen