Kakitangan tv Tunisia bantah dasar editorial


Tunisia satu-satunya negara yang berjaya melaksanakan peralihan demokrasi dalam kalangan negara Arab. – Gambar EPA, 12 Mac, 2022.

PULUHAN pekerja stesen televisyen (TV) rasmi Tunisia pada Jumaat berhimpun membantah tindakan pihak editorial menjadikan agenda Presiden Tunisia Kais Saied sebagai dasar stesen TV itu.

Penunjuk perasaan memegang sepanduk menuntut pihak berkuasa berhenti mencampuri tugas wartawan dan menghentikan sebarang cubaan menyekat suara pembangkang dengan melantik Awatef al-Dali sebagai pengarah baharu stesen televisyen itu, lapor agensi berita Anadolu.

“TV Tunisia mengikut telunjuk pihak berkuasa dan hanya bersuara untuk satu pihak, serta mengetepikan suara lain,” kata naib presiden kesatuan wartawan Tunisia, Amira Mohamed.

Beliau berkata, al-Dali menolak sebarang program yang mengetengahkan perbezaan pandangan politik atau ekonomi.

Pada Julai lalu, Saied dilaporkan merombak kerajaan, menggantung parlimen dan mengambil alih kuasa eksekutif di tengah-tengah kemarahan rakyat susulan ekonomi merudum dan lumpuhnya sistem politik.

Walaupun Saied menegaskan “langkah luar biasanya itu bertujuan menyelamatkan negara”, pengkritik menuduhnya sebagai dalang terhadap rampasan kuasa.

Tunisia dilihat satu-satunya negara yang berjaya melaksanakan peralihan demokrasi dalam kalangan negara Arab. – Bernama, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen