TENTERA Rusia mara ke Kyiv pada Sabtu dan menggempur kawasan awam di bandar-bandar lain di Ukraine ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap pelabuhan selatan Mariupol yang dikepung, di mana pegawai berkata lebih 1,500 orang terbunuh.
Siren serbuan udara kedengaran pada Sabtu di beberapa bandar, termasuk ibu kota Kyiv, Odessa, Dnipro dan Kharkiv, menurut media Ukraine.
Lebih dua minggu selepas Moscow menggemparkan dunia dengan menyerang Ukraine, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan lain-lain berkata ia mungkin melakukan jenayah perang di bandar-bandar seperti Mariupol, yang selama beberapa hari diserang oleh tentera Vladimir Putin.
Mereka yang terselamat cuba melarikan diri dari pengeboman Rusia di bandar yang ditinggalkan, tanpa air atau pemanas selain kehabisan makanan. Keadaan “terdesak,” kata pegawai Doktor Tanpa Sempadan.
“Ratusan ribu orang… terkepung,” kata Stephen Cornish, salah seorang yang mengetuai operasi badan amal perubatan di Ukraine, kepada AFP dalam satu wawancara.
“Pengepungan adalah amalan zaman pertengahan yang telah diharamkan oleh peraturan perang moden atas alasan yang baik.”
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata mereka cuba mengatur pemindahan dari bandar yang dikepung namun tentera Rusia mengganggu usaha tersebut.
“Mariupol kekal disekat musuh. Tentera Rusia tidak benarkan bantuan kita masuk ke bandar dan terus menyeksa rakyat kita, penduduk Mariupol kita,” kata Zelensky dalam video pada Jumaat.
“Esok kita cuba lagi. Sekali lagi, hantar makanan, air dan ubat untuk bandar kita.”
Ketika Rusia meluaskan pengebomannya dan perbincangan antara Moscow dan Kyiv nampaknya tidak terbantut, rayuan Zelensky agar Nato campur tangan telah menjadi semakin terdesak.
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada Jumaat sekali lagi menolak tindakan langsung terhadap Rusia, memberi amaran ia akan membawa kepada “Perang Dunia III”.
Sebaliknya, Washington menambah lebih banyak sekatan terhadap ekonomi Rusia, kali ini dengan menamatkan hubungan perdagangan biasa dan mengumumkan larangan ke atas vodka, makanan laut dan berlian barangan khas Rusia.
Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah juga menggantung eksport barangan mewah mereka ke Rusia.
“Putin perlu tanggung. Beliau tidak boleh teruskan perang yang mengancam asas keamanan dan kestabilan antarabangsa dan kemudian meminta bantuan daripada masyarakat antarabangsa,” kata Biden dari Rumah Putih.
Beliau bercakap ketika PBB berkata 2.5 juta orang kini telah melarikan diri dari Ukraine dan kira-kira dua juta lagi telah kehilangan tempat tinggal akibat perang. – AFP, 12 Mac, 2022.
Komen