MITI-KKM bincang dos penggalak sektor perkilangan, pembuatan


MITI berbincang dengan KKM untuk mewujudkan program vaksinasi pemberian dos penggalak Covid-19 dalam sektor perkilangan dan pembuatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mewujudkan program vaksinasi pemberian dos penggalak Covid-19 kepada hampir 2 juta pekerja dalam sektor perkilangan dan pembuatan di negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, berkata ia sebahagian usaha pihaknya menyokong inisiatif kerajaan untuk memastikan kesihatan rakyat lebih selamat dalam berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

“Sebagaimana kita sedia maklum, pekerja dari sektor perkilangan dan pembuatan merupakan antara tulang belakang kemajuan ekonomi negara.

“Saya percaya sektor ini boleh membantu kejayaan kerajaan dengan adanya program vaksinasi dos penggalak Covid-19, sekali gus dapat memberi situasi lebih selamat apabila sempadan negara dibuka bermula 1 April depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Rohm-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.

Sebelum ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April ini.

Beliau berkata, langkah itu selari dengan perancangan memasuki fasa peralihan ke endemik yang akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, apabila sempadan negara dibuka pada awal April nanti, pertumbuhan ekonomi negara akan bertambah rancak dengan pembabitan syarikat tempatan yang akan memenuhi permintaan pasaran global.

“Usaha ini akan kami teruskan dan kami mahu kerancakan ekonomi ini bukan sahaja berlaku di kawasan Lembah Klang tetapi juga di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya. – Bernama, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen