SEORANG “bakal pembunuh upahan” dipenjara seumur hidup di Britain selepas disabitkan bersalah merancang pembunuhan seorang penulis blog Pakistan terkenal yang hidup dalam buangan, kata pendakwaraya semalam.
Muhammed Gohir Khan, 31, diberitahu yang dia akan dipenjara selama 13 tahun kerana merancang untuk membunuh Ahmad Waqass Goraya tahun lepas, kata pendakwaan.
Khan, seorang pekerja pasar raya, menafikan pertuduhan itu, disabitkan bersalah oleh juri di Mahkamah Kingston-upon-Thames di London pada Januari.
Goraya, seorang penulis blog yang lantang bersuara dan aktivis liberal menetap di Belanda, menuduh Pakistan merancang untuk membunuhnya.
Maklumat perbicaraan mendedahkan yang Khan direkrut orang tengah didakwa berada di Pakistan, dan Goraya percaya ugutan bunuh diterimanya dirancang oleh perkhidmatan perisikan Pakistan, ISI.
Pendakwaan berkata Goraya menjadi sasaran kerana mengecam kerajaan Pakistan dan tentera melalui catatan satira di media sosial.
Sebelum ini, Goraya melaporkan beberapa kejadian ganas dan ugutan dibuat ke atasnya.
Pada 2017, beliau berkata beliau bersama empat orang lagi aktivis ditahan dan diseksa berminggu-minggu di Pakistan.
Tentera Pakistan menafikan penglibatan mereka.
Khan dari timur London pergi ke Belanda dan menghabiskan masa berhari-bari memantau rumah Goraya di Rotterdam dan membeli pisau chef profesional, mahkamah diberitahu.
Dia pulang ke UK selepas menyedari Goraya tidak berada di rumah dan ditahan serta merta sebaik tiba.
Polis British bekerjasama dengan pihak berkuasa Belanda untuk mendapatkan maklumat komunikasi Khan dengan orang tengah di WhatsApp dan Signal serta bukti video pergerakannya.
Khan mendakwa dia hanya bersetuju kepada bayaran sebanyak £100,000 untuk membunuh Goraya kerana terdesak tetapi tidak pernah merancang melakukannya. – AFP, 12 Mac, 2022.
Komen